Impak pemilihan Presiden AS
KETIKA ini, seluruh dunia sedang menanti keputusan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS). Walaupun keputusan semasa dilihat semakin memihak calon Demokrat, Joe Biden, lawannya daripada Republikan yang merupakan Presiden AS, Donald Trump masih belum mahu mengangkat bendera putih. Malah Trump sudah mendakwa dirinya menang pilihan raya itu walaupun proses pengiraan undi masih belum selesai.
Mungkin ramai yang tidak faham bagaimana sistem Pilihan Raya Presiden AS dijalankan. Secara ringkas, sistem itu bergantung kepada undi elektoral yang berbeza dengan pengundian menerusi sistem majoriti First-Past-The-Post (FPTP). Lazimnya, undi elektoral dikumpulkan mengikut negeri-negeri yang setiap satunya diperuntukkan jumlah perwakilan berbeza bila-ngannya antara satu negeri dengan negeri yang lain mengikut nisbah jumlah penduduk.
Sebagai contoh, California mempunyai undi elektoral paling besar iaitu sebanyak 55 berbanding Wyoming, Montana dan Alaska (tiga) kerana California mempunyai jumlah penduduk paling ramai di AS (39.5 juta) berbanding negeri lain. Mana-mana calon Presiden yang memenangi undi popular dari setiap negeri akan memperoleh undi elektoral perwakilan dari negeri yang dimenanginya dan pemenang akan diumumkan apabila ada calon yang berjaya meraih 270 daripada keseluruhan 538 undi elektoral daripada 51 negeri di AS. Untuk rekod, jumlah undi elektoral adalah sama dengan jumlah anggota Kongres AS (Dewan Senat dan Dewan Perwakilan).
Walaupun Pilihan Raya Presiden AS hanya melibatkan warga Amerika tetapi jutaan warga dunia terkesan dengan keputusannya. Sebagai sebuah negara kuasa besar, siapa yang menjadi Presiden sangat penting bagi menentukan percaturan hala tuju, komitmen dan dasar luar AS terhadap rakan sekutu mahupun negara saingannya.
Siapa pun yang menang dan menjadi Presiden kelak, barangkali tidak melakukan banyak perubahan dalam pendekatan dasar luar AS. Sama ada Presiden daripada Demokrat atau Republikan, mereka selalunya bersatu dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan AS sebagai paksi hegemoni kuasa dunia dan perkara yang mengancam kekuatan negara itu. Yang berbeza hanyalah nuansa dan pendekatan Presidennya.
Agenda utama dasar luar AS membina dan mengekalkan dunia yang demokratik dan selamat menerusi pengekalan dan perluasan pengaruh AS di seluruh dunia dilihat jelas menjadi agenda setiap Presiden selepas pentadbiran Roosevelt enggan untuk meneruskan dasar pemencilan AS terhadap dunia antarabangsa yang diamalkan AS sebelum Perang Dunia Kedua. Sejak itu, AS menjadi sangat aktif mencaturi dunia terutama dengan penubuhan institusi dan organisasi antarabangsa berkiblatkan AS yang sering digunakan untuk membuli negara lain. Ia kerap berlaku di bawah pentadbiran Trump.
Mungkin kemenangan Biden lebih memberikan harapan bahawa dasar luar AS akan lebih lunak berbanding empat tahun lalu. Sepanjang pentadbiran Trump, beliau dilihat terlalu unilateral, melulu dan semberono yang telah banyak merugikan AS.
Daripada isu NATO-Russia di Eropah, Krisis Nuklear Iran dan Korea Utara, permasalahan di Asia Barat, bertegang leher dengan China sehinggalah bergaduh di Twitter dengan remaja aktivis alam sekitar, Greta Thunberg, tiada satu pun berjaya ditangani Trump dengan baik.
Adakah Biden setidak-tidaknya mampu membetulkan kembali kerosakan yang dilakukan Trump, kalaupun tidak mampu menawarkan pendekatan pembaharuan terhadap dasar luar AS? Setakat ini sepanjang berkempen, Biden berjanji akan kembali bekerjasama secara konsensus dengan sekutu AS dan akan mencari jalan mengurangkan ketegangan terhadap Iran dan Korea Utara.
Tetapi bolehkah kita mempercayai Biden selepas beliau juga berjanji untuk tetap bersikap tegas dan keras terhadap mana-mana negara yang mengancam kepentingan AS yang secara tersirat merujuk kepada kes perang dagang AS-China setelah mengetahui dasar luar AS yang sangat konsisten agendanya walaupun kerap berganti pemimpin.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!