Untunglah rakyat Kelantan

No Image Caption
A
A
A

"AKU pi jumpa wakil rakyat tak pernah pun depa bagi duit,” kata Pak Din membebel-bebel di kedai Pak Anjang di Pekan Guar Chempedak ketika menikmati roti canai kosong. Pak Anjang ketawa berdekah-dekah sambil menebar roti canai.

Kata Pak Din lagi, “Eloklah untuk rakyat Kelantan. Nanti pi jumpa wakil rakyat, terus sahaja minta duit. Ada duit semua boleh jadi.”

Pak Din tekun menatap siaran akhbar tentang kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang akan mencadangkan kenaikan gaji dalam Belanjawan 2021 Kelantan untuk kelulusan. Mungkin itu sedikit sebanyak akan memberi sinar kepada rakyat Kelantan.

Walaupun rakyat Kelantan mungkin tidak bekerja dan tiada duit, asalkan wakil rakyat dan Exco dapat kenaikan gaji, syukur alhamdulillah. Bolehlah juga rakyat sandarkan bahu kepada mereka.

Rakyat Kelantan biarlah susah pun tidak apa, asalkan wakil-wakil rakyat bahagia. Kenaikan gaji penting, sebab kalau tidak nanti susah mereka mahu membantu rakyat jelata.

Saya teringat peribahasa Melayu lama mengatakan condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan. Maksudnya, pemimpinlah yang membantu atau menjaga rakyat jika ada kesusahan menimpa rakyatnya.

Makanya, jika ada rumah yang condong, maka pemimpin yang akan jadi kayu untuk menongkat rumah tersebut dan jika rumah itu rebah, maka pemimpin jugalah yang akan menjadi paku dan tukul untuk tegakkan kembali.

Tetapi, kalau tidak naik gaji, mana mungkin hendak menongkat rumah yang condong dan rebah. Hanya dengan duit barulah pemimpin boleh menjadi kayu, paku, penukul simen dan pasir.

Artikel Berkaitan:

Lebih menarik, Timbalan Menteri Besar Kelantan dalam kenyataannya berkata, “Orang yang datang rumah kita, kita kena ada duit. Kalau tidak ada duit, macam mana kita hendak tolong.”

Maksudnya, rakyat jelata yang susah jangan malu-malu datang untuk bantuan duit. Wakil rakyat hanya perlu menunggu. Kalau tidak datang, maka mungkin bermakna rakyat jelata sudah senang-lenang dan makan pakai semuanya cukup.

Betullah kenyataan itu. Pemimpin mana boleh keluar ikut suka sahaja. Mereka kalau keluar pun perlu ke Dewan Rakyat atau Parlimen untuk membentangkan masalah rakyat. Tidak perlu keluar mencari rakyat susah tetapi biar rakyat sahaja yang datang.

Pemimpin

Musim koronavirus (Covid-19) amat berbahaya untuk wakil rakyat berjalan-jalan tidak tentu hala. Kalau kena Covid-19, nanti rakyat yang susah. Wakil rakyat tidaklah susah mana, lagipun gaji sudah naik, elaun mungkin banyak.

Kalau hendak suruh wakil rakyat keluar berjumpa rakyat, elok dibuat majlis, contohnya majlis sumbangan itu dan ini, baru ada 'kelas’ dan nampak wakil rakyat buat kerja. Kalau pergi senyap-senyap, nanti orang akan tular, katanya wakil rakyat tidak buat kerja.

Kena uar-uarkan kepada media, ada majlis penyampaian bantuan beras, susu dan duit kepada rakyat sedang berlangsung. Kalau boleh, buatlah di dewan orang ramai secara rasmi. Hampar pula karpet merah ala anugerah filem Hollywood.

Biar rakyat tunggu menganga mulut di dewan terlebih dahulu. Wakil rakyat biasanya akan tiba lambat sedikit. Kalau wakil rakyat yang menunggu, macam tidak patut pula.

Lagipun bak kata pepatah Melayu lama, kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila, batangnya tempat bersandar.

Maksudnya, pemimpin tidak lain dan tidak bukan adalah tempat mengadunya rakyat jelata akan segala masalah yang dihadapi, lebih-lebih lagi pada musim yang tidak menentu ini.

Maka, beruntunglah rakyat Kelantan, boleh terus pergi ke rumah wakil rakyat. Nanti dihulurlah bantuan yang perlu. Tidak perlu malu-malu, cuma bak kata pepatah Melayu lama, jika berpuluh-puluh kali batang beralih, cacing di bawah juga.

* Penulis seorang jurutera kanan sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!