Gadis nyaris rentung, rumah terbakar
KUALA NERUS - Tindakan pantas seorang jiran menendang pintu berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan daripada rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Ikan, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Nai Zatul Akma Mizan Sakri, 17, berseorangan di rumah manakala ahli keluarganya yang lain sedang menguruskan kedai makan yang tidak jauh dari kediaman mereka.
Kebakaran itu bukan sahaja memusnahkan kediaman mangsa, malah sebuah lagi kediaman lain dan sebuah kedai menjual kek turut musnah.
Nai Zatul berkata, kejadian itu disedarinya apabila dia terdengar meter elektrik meletup, lalu bergegas keluar untuk menyelamatkan diri.
"Tapi saya jadi cemas bila melihat api hampir dengan pintu. Mujurlah tidak lama selepas itu saya terdengar jeritan jiran yang kemudiannya membantu saya keluar," katanya.
Seorang lagi mangsa, Mohamad Hisyam Mokhtar, 35, berkata, semasa kejadian dia dan isterinya, Umi Kalsom Endut, 34, sedang berehat di ruang tamu.
Katanya, dia tiba-tiba mendengar letupan, sebelum terhidu bau asap tebal dari rumah sebelah.
"Kami kemudiannya segera keluar selamatkan diri sebelum perasan anak perempuan jiran sebelah masih terperangkap di dalam rumah.
"Semasa melarikan diri, saya nampak asap sudah berkepul. Saya jerit minta anak jiran untuk keluar tapi dia nampak panik. Saya kemudiannya bertindak menendang dan memecahkan pintu depan supaya dia dapat keluar menyelamatkan diri," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Muhammad Basri Kamarulzaman berkata, tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus dan Kuala Terengganu bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada jam 3.42 petang.
Jelasnya, pihak bomba mengalami kesukaran untuk melakukan kerja pemadaman kerana terpaksa membuka pintu besi terlebih dahulu.
"Kedua-dua kediaman terbakar 100 peratus manakala kedai menjual kek itu terbakar 70 peratus. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!