'Tiada Golec tiada masalah'
KETUA Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic percaya kekosongan ditinggalkan pemain tengah dari Australia Anthony Golec yang baru-baru ini pulang ke negaranya berikutan tidak berpuashati dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), mampu diisikan pemain lain.
Mehmet mendedahkan yang beliau menghormati keputusan dibuat Golec, tetapi yakin anak buahnya akan dapat memberikan persembahan terbaik ketika menentang Kelantan United pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Perak di Ipoh, malam ini.
“Saya percaya ada beberapa pemain yang boleh diharapkan untuk menggantikan tempat Golec, dan buat masa ini saya juga telah menguji beberapa pemain Perak II,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di sini hari ini.
Dalam hal berkaitan, Durakovic mengingatkan pemainnya untuk tidak mengambil mudah kekuatan Kelantan United walaupun lawan mereka itu beraksi dalam saingan Liga Premier sebelum ini.
Berkongsi pandangan yang sama Ketua Jurulatih Petaling Jaya City FC K. Devan yang percaya Terengganu FC (TFC), adalah satu pasukan yang sukar untuk dikalahkan dalam perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, malam ini.
Beliau turut meminta pertahanannya untuk berjaga-jaga dengan beberapa pemain TFC seperti ketua pasukan, Lee Andrew Tuck, Dominique Da Sylva (penyerang) dan Faris Ramli (sayap).
“Saya sering mengingatkan pemain saya bahawa TFC mempunyai pemain yang kuat dan mampu memberikan saingan kepada pasukan kita, dan oleh sebab itu, kita tidak boleh memberikan peluang kepada TFC untuk mengawal permainan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!