PKPIM kecewa Belanjawan 2021 'tidak peduli' mahasiswa
SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kecewa atas atas ketidakpedulian Kementerian Kewangan terhadap mahasiswa apabila tiada sebarang insentif mahupun bantuan khas untuk golongan itu.
Presidennya, Ahmad Farhan Rosli berkata, Belanjawan 2021 adalah anggaran perbelanjaan terbesar dalam sejarah negara berjumlah RM322.5 billion dan terdapat keseluruhan peruntukan RM14.4 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi, namun tiada peruntukan untuk mahasiswa.
"Berdasarkan rekod lalu, peruntukan bantuan BPPT dikurangkan dengan suatu jumlah sangat besar iaitu sebanyak RM300 juta pada 2018 kepada RM120 juta pada 2019 dan sangat mendukacitakan apabila tiada langsung peruntukan sedemikian untuk tahun 2020 dan 2021.
"Ini sekali gus bakal menimbulkan keresahan dan kesulitan mahasiswa yang genting dalam situasi ekonomi tidak menentu kini," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Katanya, PKPIM turut mempersoalkan pengurangan peruntukan Biasiswa Pendidikan Tinggi dalam belanjawan kali ini daripada RM170,000,000 pada 2020 kepada RM161,500,000 pada 2021.
"PKPIM mengharapkan belanjawan tersebut disemak semula bagi memastikan hak, keperluan dan kebajikan mahasiswa tidak dipinggirkan dalam keadaan majoriti daripada golongan ini berhadapan dengan masalah ekonomi yang sangat meruncingkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!