Mayat warga emas ditemui dalam sungai
MELAKA TENGAH - Misteri kehilangan seorang warga emas beberapa hari lalu akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemui dalam sebuah sungai di Jalan 7, Taman Seri Duyong di sini petang semalam.
Mayat lelaki berusia 71 tahun itu ditemui dalam keadaan terlungkup dan tidak berpakaian oleh orang awam pada jam 5 petang.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya yang menerima aduan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi dan mayat berjaya dikeluarkan dari sungai dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat yang tiba kira-kira 40 minit kemudian.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di kawasan itu polis turut menjumpai pakaian dan sepasang kasut dipercayai milik mangsa.
"Sebelum ini anak mangsa ada membuat laporan polis berhubung kehilangan bapanya pada jam 9 malam, 4 Oktober lalu.
"Siasatan awal yang dijalankan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mengesahkan tiada kecederaan fizikal yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!