Wanita didera tampil beri keterangan
LUMUT - Wanita yang menjadi mangsa dera dua individu dipercayai pasangan suami isteri yang tular di media sosial telah tampil memberi keterangan kepada polis semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, wanita tempatan berusia 25 tahun itu hadir ke Balai Polis Seri Manjung kira-kira jam 2.47 petang mendakwa kejadian itu berlaku sekitar April lalu di Hutan Melintang.
“Berdasarkan keterangan, mangsa adalah sepupu kepada suspek lelaki itu dan mereka tinggal bersama sejak dua tahun lalu.
“Kejadian itu berpunca kerana dia menggunakan wang yang diberikan suspek tanpa kebenaran ketika diminta membeli barang yang menyebabkan suspek berang,” katanya.
Menurutnya, mangsa kini tidak tinggal lagi bersama suspek dan tidak mengetahui tempat tinggal mereka.
“Disebabkan itu, kes diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk lakukan siasatan lanjut,” katanya.
Sinar Harian semalam melaporkan polis sedang mengesan dua individu bagi membantu siasatan terhadap kejadian wanita didera dalam satu rakaman klip video yang tular di media sosial kelmarin.
Dalam rakaman video berdurasi dua minit enam saat itu, seorang wanita dipukul, ditampar dan tapak kakinya dicucuh dengan colok.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat video wanita didera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!