UMNO berpuas hati dengan Belanjawan 2021
PONTIAN - UMNO berpuas hati dengan pembentangan Belanjawan 2021 semalam kerana beberapa perkara yang dicadangkan parti sebelum ini didengari Kementerian Kewangan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, banyak cadangan yang dikemukakan UMNO diberikan pertimbangan di mana golongan sasar iaitu belia, wanita, bumiputera mendapat perhatian dalam belanjawan kali ini.
Menurutnya, rakyat terutama golongan B40 turut diberikan perhatian dengan peningkatan jumlah Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diberikan nama baharu iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
"Peruntukan itu sekaligus menolak anggapan beberapa pihak yang mengatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak peka dengan pandangan rakyat.
"Apa yang dilakukan adalah bagi memenuhi permintaan rakyat seiring dengan slogan dibawa kerajaan kini iaitu prihatin kepada rakyat terutama ketika negara dilanda wabak koronavirus (Covid-19)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada wakil masyarakat India Pontian, S Samudram di Kampung Permata, Pontian hari ini.
Sumbangan sempena perayaan Deepavali itu akan diagihkan kepada kira-kira 100 masyarakat India di sini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian itu turut menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai usaha luar biasa dilakukan kerajaan kerana mampu memberikan bajet terbaik dalam keadaan pendapatan yang merosot.
Beliau berkata, tumpuan utama kerajaan kini adalah untuk menangani penularan Covid-19 di mana jelas peruntukan kedua terbesar diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia sebanyak RM32 bilion.
"Kita tidak mampu hendak puaskan hati semua orang, walaupun demikian semua orang dapat seorang sikit. Namun tumpuan utama diberikan kepada golongan B40.
"Belanjawan 2021 merupakan bajet mengembang bagi memperkukuhkan ekonomi dengan harapan pada tahun hadapan ekonomi kembali positif dengan mencapai kadar pertumbuhan sekitar 6.5 peratus hingga 7.5 peratus berbanding 4.5 peratus pada tahun ini," katanya.
Katanya, menerusi rangsangan dibuat kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Belanjawan 2021, pertumbuhan ekonomi yang positif pada tahun hadapan mampu dicapai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!