Belanjawan 2021: Public Bank akan mudahkan urusan pelanggan
SHAH ALAM - Public Bank menyatakan komitmen membantu pelanggan melalui program bantuan pembayaran semula bersasar yang dilanjutkan seperti mana dalam Belanjawan 2021.
Pengerusi Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata, bank itu akan memudahkan akses berterusan kepada pembiayaan terutama pembiayaan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Selain itu menurutnya, pihak bank berkenaan juga akan terus menyokong pembiayaan bagi perumahan mampu milik, selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan pemilikan perumahan dalam kalangan rakyat di negara ini.
"Pengukuhan pelbagai industri oleh kerajaan, penerusan projek infrastruktur yang sedang dijalankan dan pelbagai insentif untuk menggalakkan pelaburan sektor swasta akan menyumbang kepada pemulihan serta pertumbuhan ekonomi yang lebih meluas pada tahun 2021.
"Kami akan terus membantu kerajaan dalam memenuhi tema Belanjawan 2021 yang prihatin rakyat, memacu ekonomi dan membolehkan kehidupan secara mampan.
"Saat sukar yang belum pernah berlaku ini memerlukan langkah-langkah luar biasa dan usaha bersepadu kerajaan, yang kami sokong sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hong Piow turut memuji inisiatif kerajaan dalam memenuhi keperluan melalui peningkatan kuantum bantuan kewangan peribadi dan korporat serta perluasan pelbagai skim subsidi dan kewangan.
Ujarnya, Belanjawan 2021 dengan tumpuan segera ke arah melindungi kehidupan sambil menyokong dan membangunkan perniagaan itu akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara ke landasan pemulihan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!