MATA kecewa Belanjawan 2021 tidak bantu industri pelancongan
SHAH ALAM - Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) kecewa kerana Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan semalam disifatkan sebagai tidak membantu penggiat pelancongan untuk memperkasa industri itu.
Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, melalui Strategi kedua: Memperkukuh Sektor-sektor Tumpuan di bawah Langkah ketiga Belanjawan 2021 untuk kelangsungan industri pelancongan, kerajaan hanya menyentuh beberapa sektor di dalam industri pelancongan sahaja.
Menurutnya, apakah peniaga dan penjaja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pelancongan yang terjejas hanya berlaku di Sabah dan bagaimana pula keadaan peniaga tersebut di Sarawak mahupun di Semenanjung?
"Mungkin di mata kerajaan, peniaga selain di Sabah ini masih mengaut keuntungan pada ketika ini, jadi kami tidak faham rasionalnya kerajaan hanya menyalurkan Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak RM1,000 di Sabah.
"Kini tumpuan kami hanyalah pada Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) sebanyak RM1 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan Jun yang lalu.
"Ini pun penggiat pelancongan merasakan seperti dipermainkan oleh pihak institusi kewangan kerana selepas lima bulan diumumkan, hanya tiga peratus dana tersebut diluluskan permohonannya," katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau berkata, sebab itu MATA mengesyorkan supaya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk menguruskan dana tersebut kerana MOTAC lebih memahami keadaan penggiat pelancongan ketika ini.
Mohd Khalid berkata, pihaknya juga terkejut kerana pada ketika ini apa yang MATA harapkan adalah kerajaan dapat memberikan solusi terhadap pinjaman kenderaan oleh pengusaha bas persiaran yang ditekan oleh syarikat pemberian kredit.
Menurutnya, ia disebabkan bas-bas semuanya tidak dapat beroperasi dan memungkinkan mereka menjadi bankrap.
"Takkan mereka perlu menunggu untuk penggubalan Akta Kredit Pengguna yang tidak tahu bila akan dibahas dan digazetkan.
"Inilah sebab yang membuatkan kami sangat kecewa dengan Belanjawan 2021 kerana besar kemungkinan daripada 3.6 juta tenaga kerja di dalam sektor pelancongan bakal hilang mata pencarian," katanya.
Namun begitu beliau berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peruntukan latihan kepada kakitangan dari syarikat penerbangan, tetapi bagaimana dengan kakitangan hotel yang terpaksa ditutup operasi kerana tiada bisnes?
"Bagi pengusaha hotel yang masih mampu bertahan, mungkin mereka dapat menarik sedikit nafas lega dengan pengecualian levi tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bermula Januari 2021," katanya.
Katanya, mungkinkah pelancongan akan berkubur dengan Belanjawan 2021 ini dan masih adakah harapan di dalam Industri Pelancongan Malaysia?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!