Jasa tidak beri kesan perangi wabak Covid-19: Salahuddin

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

SHAH ALAM - Peruntukan lebih RM80 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) menerusi Belanjawan 2021 disifatkan sebagai tersasar dan hilang fokus kepada beberapa keutamaan lain yang sepatutnya diberi lebih perhatian.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jumlah peruntukan tersebut adalah besar kepada kumpulan yang tidak memberi kesan dalam memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

"Kalau jumlah yang kecil tidak mengapa, tetapi jumlah lebih RM80 juta itu bukan satu jumlah yang kecil kepada satu kumpulan yang tidak mungkin dapat memberi satu impak besar terhadap isu Covid-19.

"Itulah saya amat kesal dengan kehilangan fokus pihak kerajaan terhadap isu Jasa ini. Kita tiada masalah sekiranya bajet itu berkaitan Covid-19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, Jasa dikenali sepanjang sejarahnya sebagai kumpulan yang mendapat banyak manfaat khasnya daripada lantikan politik.

"Maka mereka tidak perlu peruntukan sebanyak itu (lebih RM80 juta). Ketika kita menghadapi wabak Covid-19, ramai lagi petugas di barisan hadapan atau 'frontliners' yang harus diberikan lebih perhatian.

"Selain itu, perhatian juga perlu diberikan kepada golongan belia dan wanita yang kehilangan kerja. Itu yang sepatutnya diberikan fokus," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching daripada DAP meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberikan penjelasan mengenai kebaikan dan manfaat peruntukan itu kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching

Menurutnya, adalah lebih baik sekiranya peruntukan lebih RM80 juta untuk 'menghidupkan' semula Jasa menerusi Belanjawan 2021 itu disalurkan kepada program kesihatan rakyat.

"Sebanyak RM24 juta untuk menangani isu kesihatan mental, RM90 juta untuk program imunisasi pneumokokal, RM25 juta untuk program rawatan 'peritoneal dialysis'. Ini semua program yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Tapi, apa tujuan Jasa dihidupkan? Bukan ke peruntukan untuk Jasa itu lebih baik kalau digunakan untuk membantu pesakit buah pinggang," katanya.

Justeru, Nie Ching mendesak PN supaya tidak membazirkan pendapatan negara dalam agenda propaganda yang berunsur politik dan sepatutnya memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada keperluan rakyat.

Dokumen Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan semalam dan diagihkan kepada setiap ahli Parlimen menyatakan bahawa sejumlah RM81.5 juta diperuntukkan mengikut butiran 050100 bagi program perluasan Jasa.

Peruntukan yang terkandung dalam kepala bekalan 47 Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu sekali gus mengundang persoalan pelbagai pihak terutama dalam kalangan pembangkang memandangkan pandemik Covid-19 memerlukan pengagihan peruntukan secara saksama mengikut situasi semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!