PKPB di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sidang khas MKN pagi tadi mengambil keputusan sedemikian sebagai tindakan memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) dan segera bagi membendung penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) di dalam negara.
Menurut Muhyiddin, selain PKPB itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lokaliti tertentu yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi.
“Sekatan perjalanan merentas negeri juga akan dilaksanakan bagi mengurangkan pergerakan orang ramai dan aktiviti sosial sekali gus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“Semua perincian tentang keputusan-keputusan ini seperti tarikh mula kuat kuasa dan kawasan yang terlibat akan dijelaskan dengan lebih lanjut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, beliau mengarahkan supaya beberapa pendekatan yang lebih tegas diambil berikutan situasi kes baharu jangkitan Covid-19 di seluruh negara yang masih dalam trend meningkat.
Hakikatnya ujar beliau, peningkatan bilangan kes baharu mendatangkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan rakyat serta tidak lagi boleh terus kekal di dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Data-data yang dibentangkan pada setiap hari di dalam sidang khas ini sudah cukup untuk menunjukkan bahawa pendekatan yang lebih tegas dan berani mesti diambil sebelum keadaan menjadi lebih parah,” katanya.
Sementara itu pada sidang yang sama, kerajaan negeri Sarawak membuat permohonan untuk menambah bilangan katil di ICU dan meningkatkan kapasiti makmal ujian saringan pengesanan Covid-19 di tujuh hospital kerajaan di negeri itu.
Kata Muhyiddin, beliau telah minta supaya kerajaan negeri Sarawak mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meneliti keperluan tersebut untuk diberikan pertimbangan sewajarnya.
“Insya-ALLAH semoga pendekatan-pendekatan yang diputuskan ini akan dapat membantu menurunkan kes-kes baharu jangkitan Covid-19 kepada tahap yang paling rendah bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat,” katanya.
Sementara itu, menerusi sidang media harian sebentar tadi, Ismail Sabri mengumumkan PKPB itu akan dilaksanakan selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember ini.
Alhamdulillah, pagi ini saya telah mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menumpukan perhatian...
Posted by Muhyiddin Yassin on Saturday, November 7, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!