Aplikasi MyCemas bantu mangsa jenayah
IPOH - Bimbang dengan peningkatan kes jenayah terhadap kanak-kanak dewasa ini badan bukan kerajaan, Pertubuhan Bahu Yang Membantu mengambil inisiatif bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta melancarkan aplikasi MyCemas.
Ketua Pengarah Teknikal MyCemas, Ridzman Azzahari berkata, aplikasi itu yang kini dalam peringkat percubaan akan tersedia kepada umum pada awal tahun depan dengan kadar bayaran yang rendah.
"Menerusi aplikasi ini, bantuan dapat dihantar kepada mereka yang berdepan kecemasan menerusi perkongsian lokasi serta rakaman audio persekitaran dengan senarai kontak yang telah didaftarkan," katanya pada sidang media selepas pelancaran aplikasi itu.
Aplikasi tersebut dilancarkan oleh Pengerusi Persatuan Amal Isteri Harapan Perak (Kasih Perak), Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi yang juga isteri Menteri Besar Perak di kediaman rasmi menteri besar di sini.
Menurut Ridzman, pihaknya akan mengadakan siri jelajah mengenai aplikasi itu selain meningkatkan kesedaran terhadap jenayah ke atas kanak-kanak bermula Januari depan dengan Perak menjadi negeri pertama.
Katanya, selain memberi bantuan kepada golongan kanak-kanak ketika berhadapan kes jenayah, aplikasi itu juga boleh dimanfaatkan golongan lain termasuk warga emas yang mempunyai masalah kesihatan untuk mendapatkan bantuan segera daripada ahli keluarga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!