'Bimbang tragedi Highland Towers berulang'
KUALA LUMPUR - Aktiviti meletupkan batu bagi projek pembinaan kondominium di Taman Bukit Cheras di sini meresahkan penduduk Pangsapuri Blok 1 dan 3 di sini.
Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan, Boon Yoke Teng berkata, aktiviti itu dilakukan empat hari seminggu dengan kekerapan tiga kali sehari membuatkan penduduk yang tinggal kira-kira 100 meter dari lokasi projek berkenaan boleh merasai gegarannya.
Menurutnya, permasalahan itu dialami sejak dua minggu lalu dan dijangka berterusan sebulan lagi sehingga kerja letupan batu itu selesai.
"Dalam tempoh yang berbaki ini kami khuatir keselamatan kami. Kami bimbang dengan keadaan struktur bangunan kami diami ini berkemungkinan akan mengalami kesan jangka panjang termasuk keretakan memandangkan bangunan ini telah berusia hampir 30 tahun.
"Setiap kali letupan dilakukan, kami rasa gegarannya dan setiap kali itu pejabat JMB akan menerima aduan dari penduduk berhubung permasalahan itu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut, Boon Yoke berkata, walaupun kerja meletup batu itu mendapat kebenaran daripada agensi berkaitan namun perkara itu tidak dirujuk kepada penduduk berhampiran terlebih dahulu.
"Sebelum-sebelum ini pun ada projek dilaksanakan berhampiran perumahan kami, namun kontraktor ada datang untuk memeriksa bangunan sebelum dan selepas projek dijalankan tetapi kontraktor yang baharu ini tidak melakukan prosedur sama.
"Kami tidak menghalang projek tersebut dijalankan cuma kami mahukan jaminan, mereka perlu datang mengambil gambar setiap unit kami dan melakukan pemeriksaan sekurang-kurang tiga bulan sekali.
"Mungkin dalam masa terdekat kesan letupan batu itu tidak nampak, tetapi selepas enam bulan dan seterusnya jika struktur hadapi kerosakan pihak mana yang akan dipertanggungjawabkan," katanya.
Seorang penduduk, Ahmad Affendi Kasa, 53 berkata, penduduk telah memanjangkan isu tersebut kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis dan juga pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak untuk memantau dari aspek pematuhan projek tersebut.
"Dalam banyak-banyak projek yang dilaksanakan sekitar sini, ini kali pertama kaedah letupan batu dilaksanakan dan melibatkan gegaran seperti gempa bumi.
"Kami sebagai penduduk tidak tahu kontraktor tersebut patuh atau tidak dengan peraturan ditetapkan tetapi apa yang kami tahu setiap kali letupan batu dilakukan, rumah kami bergegar, kami jadi takut dan risau jika kejadian seperti di Highland Towers berlaku di kawasan kami. Jadi kami mahukan jaminan keselamatan, " katanya.
Justeru, Ahmad Affendi berharap agar penduduk dan juga pihak kontraktor diberikan ruang untuk bersemuka dan mendengar masalah dihadapi mereka.
Sementara itu, wakil pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kuek Po Guan berkata, pihaknya dan wakil kontraktor telah ke lokasi kejadian Khamis lalu sebaik menerima aduan daripada penduduk.
Katanya, pihak kontraktor telah mengukur bacaan kadar letupan batu berhampiran rumah penduduk dan mendapati gegaran mengikut kadar yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) malah lebih rendah dari yang dibenarkan serta tidak membahayakan.
"Kami dimaklumkan juga kerja letupan batu itu mendapatkan kebenaran JMG dan juga polis.
"Kami faham kebimbangan penduduk dan telah mengesyorkan kepada pihak kontraktor untuk melibatkan penduduk dan memberikan penjelasan dari masa ke masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!