Kakitangan Pejabat Penerangan Kemaman maut nahas

Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah. - Foto Ihsan polis
Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah. - Foto Ihsan polis
A
A
A

KEMAMAN - Seorang juruaudio visual maut dalam nahas yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 15 Jalan Mak Lagam-Bandar Baru Cheneh berhampiran dengan Bukit Jemalang di sini tengah hari tadi.

Mangsa, Zoraimi Izan, 48, yang bertugas di Pejabat Penerangan Daerah Kemaman maut di lokasi kejadian setelah motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan kelapa sawit kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Difahamkan, Zoraimi bersama enam lagi rakannya sedang berkonvoi dari arah Kemaman menuju ke arah Kuantan.

Motosikal mangsa dan lori hangus terbakar dalam kejadian itu. - Foto Ihsan polis
Motosikal mangsa dan lori hangus terbakar dalam kejadian itu. - Foto Ihsan polis

Bagaimanapun, mangsa yang menaiki motosikal jenis Kawasaki z800 dikatakan hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan lalu melanggar bahagian hadapan lori.

Ekoran perlanggaran itu, motosikal mangsa dipercayai terbakar dan api turut menyambar lori itu, menyebabkan kedua-dua kenderaan hangus terbakar.

Seramai 13 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengambil masa selama 10 minit bagi memadamkan kebakaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan dan menjelaskan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!