'Kalau keluarga dia datang, saya sedia maafkan'
KUALA TERENGGANU - Biarpun sudah seminggu pemergian Siti Nur Surya Ismail, 19, dalam tragedi menyayat hati, namun keluarganya masih lagi terkesan dan sukar melupakan kejadian yang berlaku.
Bapanya, Ismail Muda, 58, berkata, walaupun reda dengan apa yang berlaku, hatinya masih terluka apabila terkenangkan nasib yang menimpa anak perempuannya itu.
"Saya masih terluka sebab tidak percaya suspek sanggup berbuat begitu. Jauh di lubuk hati, rasa sakit itu masih ada.
"Saya tidak marahkan keluarga dia (suspek). Kami antara keluarga memang tak kenal dia tapi mereka berdua (suspek dan mangsa) memang rapat.
"Setakat ini keluarga dia (suspek) masih belum datang minta maaf. Kalau mereka datang nak jumpa, saya sedia terima. Benda sudah jadi, nak buat macam mana," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Beladau Kepong, Serada di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Rakan sekolah kepada mangsa bunuh ditahan
Bapa harap pembunuh Siti Nur Surya terima balasan setimpal
Ismail berkata, dia masih lagi terasa akan kehadiran arwah anaknya itu, malah ada kalanya terbayang-bayang wajah Siti Nur Surya.
Malah, seorang lagi anak perempuannya, Nor Liyana Syuhada, 15, turut terkesan sehingga kini.
"Antara kami, dia (Nor Liyana) yang paling terkesan sebab dia adalah orang pertama yang melihat sendiri bagaimana keadaan arwah yang cedera teruk dalam kejadian itu," katanya.
Ahad lalu, Siti Nur Surya ditemui mati berlumuran darah dengan pergelangan tangan kirinya putus di ruang tamu rumah di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu.
Mayatnya ditemui Nor Liyana yang merupakan adik bongsu mangsa ketika pulang dari sekolah.
Susulan kejadian, polis menahan seorang remaja perempuan yang juga rakan mangsa keesokan hari selepas tampil ke balai polis dengan ditemani ibunya untuk membantu siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Bapa harap pembunuh Siti Nur Surya terima balasan setimpal
Pisau diguna suspek bunuh Siti Nur Surya dijumpaiMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!