Belanjawan mesra rakyat

A
A
A

Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Jumaat lepas boleh dianggap berjaya memenuhi kehendak pelbagai golongan dalam menghadapi masalah penularan pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini.

Sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 kali ini berbanding RM277.5 bilion pada Belanjawan 2020 adalah jumlah belanjawan paling besar setakat ini.

Kerajaan sememangnya mendengar keluhan rakyat yang tertekan akibat pandemik Covid-19 apabila membenarkan pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan.

Pengeluaran itu adalah bagi membantu ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.

Menurut Lidah Pengarang Sin Chew Daily, keputusan yang diambil oleh kerajaan itu boleh dipuji kerana dapat membantu golongan yang terdesak itu memperoleh sumber kewangan untuk menghadapi detik-detik sukar ketika ini.

Ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini yang memberi jaminan bahawa Belanjawan 2021 akan menjadi belanjawan paling menyeluruh atau komprehensif yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan.

“Maka tidak hairanlah kerajaan menyediakan belanjawan paling besar dalam sejarah negara dan akan terus berbelanja dalam keadaan yang agak getir ini untuk membantu rakyat serta merancakkan ekonomi negara,” kata akhbar itu.

Belanjawan 2021 yang bertemakan 'Teguh Kita, Menang Bersama' itu turut menghargai pengorbanan seramai 100,000 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila menerima pemberian tambahan secara one-off sebanyak RM500.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan tidak pernah mengabaikan aspek menjaga kesihatan orang ramai di samping memberikan sokongan padu kepada barisan hadapan yang telah bekerja keras hampir sepanjang tahun ini memerangi Covid-19,” tulis akhbar itu.

Tulis Sin Chew Daily lagi, adalah menjadi harapan kepada semua rakyat apabila kerajaan dapat membantu setiap golongan yang memerlukan, terutama sekali bagi yang hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan keluarga, hidup dalam keadaan miskin dengan pendapatan yang amat sedikit.

“Belanjawan 2021 adalah belanjawan yang mesra rakyat terutama sekali menyasarkan golongan bawahan dan pertengahan. Sekiranya semua peruntukan disalurkan secara berkesan, sudah tentu rakyat dapat merasai dan memperoleh faedahnya.

“Kita dapat melihat kebanyakan sumber bantuan banyak datang daripada KWSP dan Perkeso. Sebaliknya, daripada pembentangan belanjawan ini, kita tidak dapat memastikan daripada mana kerajaan akan memperoleh sumber hasil cukai memandangkan jumlahnya menurun secara mendadak,” tulis akhbar itu.

Bagi golongan menganggur, kerajaan juga tidak mengabaikan golongan ini apabila melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang dijangka menyediakan 500,000 peluang pekerjaan baharu.

“Kerajaan bersedia memperuntukkan perbelanjaan RM3.7 bilion untuk mengatasi masalah pengangguran di samping memberikan peluang kepada belia meningkatkan kemahiran dalam bidang yang diceburi mereka,” kata akhbar itu.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!