Trump 'You're fired', Biden kini Presiden AS
WASHINGTON - [DIKEMASKINI] Calon Demokrat, Joe Biden mencipta sejarah apabila berjaya menumbangkan calon Republikan, Donald Trump untuk memasuki Rumah Putih sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-46.
Biden mencipta kemenangan itu selepas Associated Press melaporkan Pennsylvania dan Nevada yang masing-masing menawarkan 20 dan enam undi elektoral sah menjadi milik Demokrat.
Dengan kemenangan di dua negeri panas itu, Biden berjaya memperoleh 290 undi elektoral mengatasi jumlah 270 undi yang ditetapkan sebagai majoriti mudah.
Trump pula terpaksa menelan kekalahan pahit selepas masih tersekat sejak kelmarin dengan angka 214 undi elektoral.
Walaupun kiraan undi di beberapa negeri panas seperti North Carolina, Alaska dan Georgia masih belum tamat, namun dengan 290 undi elektoral sudah cukup untuk membolehkan Biden menang bergaya.
Dengan kemenangan itu juga, Biden mencipta rekod sebagai Presiden AS yang tertua dalam sejarah pada usia 77 tahun selain Presiden yang mengumpul undi popular paling tinggi sebanyak lebih 74 juta.
"Saya berbesar hati dan merendah diri dengan kepercayaan rakyat Amerika yang telah meletakkan saya dan Naib Presiden, Harris (Kamala Harris)," kata Biden dalam satu kenyataan.
"Walaupun berdepan dengan pelbagai halangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, jumlah rakyat Amerika keluar mengundi, membuktikan sekali lagi bahawa demokrasi masih berada dalam hati rakyat Amerika."
Beliau menambah: "Kita adalah Amerika Syarikat. Dan tidak ada apa-apa yang kita tidak boleh lakukan, jika kita melakukannya bersama-sama."
Para penyokong Demokrat kini mula membanjiri jalanan di seluruh negara untuk menyambut kemenangan Biden yang berjaya membawa gelombang biru di AS selepas empat tahun negara Uncle Sam itu berwarna merah iaitu warna sinonim parti Republikan.
Tidak ketinggalan beratus-ratus penunjuk perasaan anti-Trump juga berkumpul di hadapan Rumah Putih, walaupun presiden itu kini dilaporkan bermain golf di Virginia.
Dalam pada itu, perhimpunan pro-Trump juga diadakan di beberapa negeri. Di Michigan, beratus-ratus penyokong Trump berkumpul di luar Bangunan Capitol, melaungkan 'empat tahun lagi' kira-kira sejam selepas perlumbaan ke White House bertemu pemenangnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!