Rezeki anak!

Abdul Hadi dan Nor Hidayah bangga menunjukkan piala pusingan yang dimenangi mereka selepas merangkul johan qari dan qariah tilawah al-Quran peringkat negeri tahun ini.
Abdul Hadi dan Nor Hidayah bangga menunjukkan piala pusingan yang dimenangi mereka selepas merangkul johan qari dan qariah tilawah al-Quran peringkat negeri tahun ini.
A
A
A

KEMAMAN - Gelaran johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran peringkat negeri 2019 yang dirangkul saat sedang menunggu masa untuk menyambut kelahiran bayi membuatkan bilal masjid dan penolong pegawai tadbir Yayasan Islam Terengganu (YIT) menganggap kemenangan itu sebagai rezeki anak.

Dengan gelaran itu, qari dari Kuala Terengganu berkenaan, Abdul Hadi Che Abd Halim, 26, yang isterinya kini sarat mengandung sembilan bulan dan qariah dari Setiu, Nor Hidayah Abd Rahman, 28, yang hamil lima bulan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, piala iringan dan piala pusingan.

Abdul Hadi yang bertugas di Masjid Abidin Kuala Terengganu berkata, kejuaraan itu adalah salah satu rezeki anak keduanya kerana isterinya dijangka bersalin pada bulan ini sekali gus sasar untuk muncul juara kali ini termakbul.

"Saya dah empat kali sertai tilawah al-Quran peringkat negeri sejak 2016 dan sebelum ini saya hanya menang dua kali naib johan, sekali tempat saguhati dan tahun ini johan.

"Syukur kepada ALLAH atas rezeki ini dan terima kasih kepada mak saya, Sharifah Aila Syed Abdul Rahman, 57, kerana mendoakan kejayaan saya di samping doa isteri, keluarga dan sahabat-sahabat," katanya selepas menerima hadiah yang disampaikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sultan Mizan mencemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri 2019 itu dan berkenan menyampaikan hadiah kepada kesemua 16 qari dan qariah bertanding.

Nor Hidayah berkongsi kegembiraan bergelar johan qariah negeri kali keenam bersama pasangan kembarnya, Nor Jannah.
Nor Hidayah berkongsi kegembiraan bergelar johan qariah negeri kali keenam bersama pasangan kembarnya, Nor Jannah.

Abdul Hadi dan Nor Hidayah akan mewakili negeri pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 17 hingga 22 Mac depan di Kelana Resort, Seremban, Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai persiapan menghadapi peringkat kebangsaan, Abdul Hadi berkata, dia akan mengikuti inisiatif yang diambil kerajaan negeri atau Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) termasuk dihantar belajar bersama guru-guru yang mahir dalam bidang tajwid dan tarannum di Kuala Lumpur.

"Dalam penghakiman secara keseluruhannya kepada qari dan qariah, jemaah hakim ada menyebut perlu ditambah baik antaranya kawalan mutu suara dan pernafasan.

"Jadi saya juga akan pertingkat mutu bacaan daei sudut itu di samping beri penekanan pada tajwid," kata bekas penuntut Institut Pengajian Islam (Inspi) Kemaman itu.

Sementara itu, gelaran johan peringkat negeri itu tahun ini adalah gelaran johan kali keenam bagi Nor Hidayah yang merupakan anak imam Masjid Ladang Bari, Setiu dan mereka berasal dari Sungai Tong.

Bezanya kali ini, Nor Hidayah berkata, kejayaan lebih manis kerana dia sedang hamil anak sulung, malah suaminya, Muhammad Muaz Mokhtar, 28, turut bertanding mewakili daerah Setiu dan muncul pemenang tempat keempat.

"Sepanjang lima kali wakili Terengganu ke peringkat kebangsaan, pencapaian paling tinggi saya adalah mendapat tempat ketiga pada tahun lepas.

"Tahun ini saya sasar untuk perbaiki lagi kedudukan dengan muncul johan. Mudah-mudahan saya dapat bawa pulang hadiah itu ke negeri ini," katanya yang bertugas di bahagian hal ehwal Islam YIT di Kuala Terengganu.

Nor Hidayah yang mempunyai kembar seiras, Nor Jannah yang juga bekerja di YIT mulai menyertai tilawah bersama kembarnya sejak di bangku sekolah ketika berusia sembilan tahun.

Kembarnya itu juga pernah bergelar johan tilawah peringkat negeri pada 2015.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!