Mora tabik impak Arif Aiman
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora memuji impak ditonjolkan pemain muda Harimau Selatan, Arif Aiman Mohd Hanafi yang meledak gol ketika membantu kelab selatan tanah air itu melakar kemenangan 1-0 ke atas Kuching FA pada aksi TM Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin kelmarin.
Menurutnya, pemain berusia 18 tahun itu disifatkannya sebagai sangat berbakat dan tindakannya menurunkan pemain berkenaan sebagai satu tindakan yang tepat.
“Pada saya, dia seorang pemain yang berbakat besar dan saya tidak menolak kemungkinan akan menurunkannya lagi selepas ini.
“Mungkin dia akan bergandingan atau beraksi mengikut penggiliran dengan seorang lagi pemain muda sensasi JDT, Ramadhan Saifullah,” katanya.
Debut Ariff Aiman pada perlawanan kelmarin nyata tidak mengecewakan apabila berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-19.
Sementara itu Mora menyifatkan skuad Harimau Selatan itu sewajarnya menang dengan jaringan lebih besar jika deretan peluang di depan gawang lawan berjaya disempurnakan.
Bagaimanapun menurut Mora, apa yang paling penting adalah skuad kendaliannya itu berjaya menjaringkan gol bagi menjamin tempat ke saingan suku akhir.
“Ya, kita ada banyak peluang, tetapi gagal disempurnakan dan setiap kali peluang itu gagal disempurnakan, lawan (Kuching FA), dilihat semakin ‘kuat.’
“Memang agak sukar berdepan dengan Kuching FA kerana mereka pasukan yang bagus dan kedatangan mereka datang ke sini adalah untuk mencabar kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!