Sidang Dewan Rakyat berlangsung di luar kebiasaan

Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 berlangsung di luar kebiasaan apabila hanya bersidang separuh hari sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan pandemik Covid-19. - Foto Bernama
Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 berlangsung di luar kebiasaan apabila hanya bersidang separuh hari sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan pandemik Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Berlangsung di luar kebiasaan. Itulah gambaran minggu pertama persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 apabila hanya bersidang separuh hari sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Boleh dikatakan hampir setiap hari, ada prosedur operasi standard (SOP) atau ingatan serta nasihat yang diumumkan di Dewan Rakyat bagi memastikan semua langkah diambil dalam usaha menjamin wakil-wakil rakyat bersidang dalam keadaan selamat dan bebas Covid-19.

Bermula hari pertama, sidang dewan berlangsung hanya tiga jam iaitu pada jam 10 pagi hingga 1 tengah hari setiap Isnin hingga Khamis, berbanding kebiasaannya tamat sekurang-kurangnya pada jam 5.30 petang.

Keputusan itu diambil selepas mesyuarat tergempar pada jam 10.30 pagi Isnin lepas yang dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan ketua-ketua Whip parti serta wakil Ketua Pengarah Kesihatan membincangkan beberapa ketetapan normal baharu persidangan dengan syarat tidak menjejaskan hak-hak ahli Parlimen.

Ini berikutan terdapat kakitangan kepada Ahli Dewan Negara disahkan positif Covid-19 selain persekitaran dewan persidangan yang tertutup sekali gus boleh meningkatkan risiko penularan wabak itu.

Walaupun persidangan berlangsung hanya tiga jam, urusan dalam aturan harian mesyuarat berjalan seperti biasa dengan menteri atau timbalan menteri menjawab soalan-soalan dikemukakan ahli Parlimen pada sesi soal jawab diikuti pembentangan usul-usul dan rang undang-undang untuk bacaan kali pertama dan kedua serta perbahasan dan penggulungan.

Ketika persidangan pada Rabu, Azhar memaklumkan semua ahli Parlimen dan petugas perlu menjalani ujian saringan Covid-19 setiap dua minggu dan notis pemberitahuan berhubung perkara itu akan dikeluarkan oleh pihak pentadbiran Parlimen dari masa ke masa.

Beliau juga mengingatkan ahli Parlimen supaya mengelak daripada bergaul atau menghadiri majlis-majlis keramaian dan tempat sesak serta sentiasa mematuhi SOP ditetapkan, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan jika terdapat jangkitan Covid-19, bangunan Parlimen akan ditutup sekiranya didapati perlu berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Bagi persidangan 9 November hingga 15 Disember ini pula, hanya 80 ahli Parlimen iaitu 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas dibenar menghadiri persidangan yang dihadkan dari jam 10 pagi hingga 2 petang, selain jumlah hari persidangan boleh ditambah dua hari iaitu pada 16 dan 17 Disember sekiranya diperlukan.

Perkara itu turut melibatkan sesi pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat, namun Azhar kemudian mengecualikan had jumlah ahli Parlimen pada hari berkenaan selepas dimohon oleh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dengan alasan ia adalah sesi utama sidang dewan kali ini.

Pandemik Covid-19 juga mendominasi pertanyaan ahli-ahli Parlimen pada sesi soal jawab lisan dan Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Sementara itu, beberapa rang undang-undang turut dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada minggu ini iaitu Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 serta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020.

Rang Undang-undang Koperasi (Pindaan) 2020 pula dibahas dan digulung selepas bacaan kali kedua.

Pada persidangan minggu pertama itu juga, seramai 12 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu, melengkapkan jawatankuasa tersebut selepas pengerusi Wong Kah Woh (DAP - Ipoh Timor) dan Naib Pengerusi Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu - Beaufort) dipilih oleh Dewan Rakyat pada 27 Ogos lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!