Harimau Kumbang tetap merendah diri
PULAU Pinang tidak mahu terus selesa setelah berjaya menundukkan Felda United 3-1 dalam saingan TM Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, malam kelmarin.
Ketua Jurulatihnya, Manzoor Azwira Abdul Wahid berkata, lawan yang bakal berentap pada saingan suku akhir kelak mempunyai kekuatan yang tersendiri dan tidak boleh dipandang ringan.
"Kelantan mempunyai semangat juang yang tinggi selain berupaya mencipta sesuatu di luar jangkaan manakala UITM FC pula mempunyai pengalaman di Liga Super dan mempunyai rekod perlawanan yang konsisten selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Oleh itu, pada Ahad ini kita (Pulau Pinang) akan tahu sama ada akan berentap dengan Kelantan ataupun UITM. Jadi, kita akan kaji dahulu dan cuba berikan yang terbaik untuk perlawanan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Felda United FC.
Katanya, perkara yang perlu diberi keutamaan pada masa kini ialah untuk memastikan beberapa pemain yang tercedera semasa menentang Felda FC berada dalam keadaan yang baik sebelum menghadapi perlawanan seterusnya.
"Melalui kemenangan ini juga, ia dilihat telah menaikkan semangat pemain dan momentum mereka untuk beraksi pada perlawanan seterusnya," katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa kesyukuran apabila pasukannya berjaya mara ke peringkat suku akhir dalam saingan Piala Malaysia setelah menanti peluang itu sejak 14 tahun lepas.
"Kali terakhir Pulau Pinang berjaya ke suku akhir (Piala Malaysia) adalah pada 2006, jadi ini adalah pencapaian terbaik yang diberikan oleh pasukan," katanya.
Kelmarin, gol Pulau Pinang berjaya disumbangkan oleh tiga pemainnya Anselmo Arruda Da Silva, Mohammad Amer Azahar dan Changhoon Lee manakala gol The Fighters dijaringkan oleh Nicolas Leandro Velez. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!