Kamala Harris wanita pertama Naib Presiden AS
WASHINGTON - Senator California, Kamala Harris mencatatkan sejarah tersendiri dalam sistem pemerintahan Amerika Syarikat (AS) apabila dinobat sebagai wanita pertama dilantik sebagai Naib Presiden negara Uncle Sam itu.
Lebih manis Kamala memecahkan penguasaan lelaki yang menguasai jawatan kedua tertinggi di AS itu bersama satu lagi sejarah tambahan iaitu wanita kulit hitam pertama memegang jawatan berkenaan.
Harris yang mempunyai darah Asia Selatan, India dan Jamaica juga akan menjadi wanita pertama yang mempunyai darah campuran menjadi Naib Presiden.
Harris, 56, diisytiharkan sebagai Naib Presiden AS yang baharu bergandingan dengan Presiden AS ke-46, Joe Biden selepas Pennsylvania dan Nevada menjadi pelengkap kejayaan parti Demokrat tengah malam tadi.
Biden memperoleh 290 undi elektoral mengatasi 270 undi yang ditetapkan sebagai majoriti mudah.
"Kita berjaya melakukannya. Kita berjaya Joe," kata Harris sambil tersenyum dalam satu panggilan telefon.
"Anda (Biden) akan menjadi menjadi Presiden AS yang baharu," tambah Harris menerusi satu klip video di Twitternya.
Dalam satu ciapan lain di Twitter sebelum itu, Harris menulis, "Pilihan raya ini lebih daripada Joe Biden dan saya semata-mata. Ia berkenaan jiwa Amerika dan kesungguhan kita untuk berjuang. Kita mempunyai banyak tugasan menanti di depan, mari mulakan."
Sebelum ini, Hillary Clinton hampir melakukan kejayaan sebagai wanita pertama sebagai Presiden AS, namun dikecewakan oleh Donald Trump empat tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Trump 'You're fired', Biden kini Presiden AS
Bagaimana Biden tumbangkan Trump
Obama ucap tahniah kepada Biden, Harris
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!