Umno dicadang adaptasi NACP pulih semula persepsi buruk

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Adun Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat mencadangkan supaya Umno mengadaptasi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) bagi memulihkan semula persepsi buruk terhadap parti tersebut.

Jelas beliau, Lembaga Jawatankuasa Disiplin Umno boleh meneliti saranan-saranan yang terkandung dalam NACP untuk dijadikan sebagai rujukan bagi menangani budaya politik wang dengan lebih serius.

“Jika sokongan Umno terhadap NACP ini dapat diterjemahkan dengan perbuatan iaitu membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin.

“Kami yakin bahawa rasuah politik dapat dibanteras dan hanya pemimpin-pemimpin yang bersih dan berwibawa sahaja akan dinaikkan di dalam parti,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Putra Haron Aminurrashid berkata, pelaksanaan NACP juga dapat meningkatkan kewibawaan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Hassan dalam usaha membanteras rasuah yang diamalkan oleh pemimpin parti itu setiap kali berlaku pemilihan dalam parti.

“Kalau tiada tangan yang memberi maka tiadalah yang akan menerima. Jika hukuman penjara dijadikan sebagai pertaruhan, rasuah politik dan budaya ‘warlord’ dalam Umno akan dapat dihapuskan dengan lebih cepat dan tepat,” ujar beliau.

Sebelum ini, Tengku Putra Haron Aminurrashid pernah mencadangkan supaya SPRM dibenarkan untuk terlibat dalam pemilihan Umno.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!