Kontraktor didenda RM20,000 benarkan imigran tinggal di premis

Chuah Chen Ye, sedang melakukan urusan bayaran denda di mesin pembayaran di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini dengan dibantu kakitangan mahkamah bertugas.
Chuah Chen Ye, sedang melakukan urusan bayaran denda di mesin pembayaran di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu hari ini dengan dibantu kakitangan mahkamah bertugas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap seorang kontraktor kerana membenarkan empat imigran haram tinggal di premisnya pada September lalu.

Tertuduh, Chuah Chen Ye, 33, turut diarahkan penjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Keputusan dibuat selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan membenarkan empat imigran haram iaitu tiga warga Bangladesh berumur antara 32 hingga 40 dan seorang warga Pakistan, 30, untuk masuk atau tinggal di sebuah tapak pembinaan di Kuala Berang, Hulu Terengganu, jam 10.45 pagi pada 23 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63(Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E (2) akta sama yang boleh dihukum denda antara RM5,000 dan RM30,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, di mahkamah sama, seorang lagi kontraktor didenda RM10,000 kerana menggaji seorang pekerja lelaki warga Vietnam tanpa permit sah pada September lalu.

Tertuduh, Chin Sing Dioang, 54, turut berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengambil seorang pekerja lelaki warga Vietnam berusia 35 tahun tanpa permit sah di sebuah tapak pembinaan di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10.45 pagi pada 23 September lalu.

Sementara itu, juga di mahkamah sama, seorang kontraktor mengaku tidak salah dan mohon dibicarakan bagi dakwaan membenarkan empat imigran haram warga Bangladesh berusia antara 22 tahun hingga 46 tahun tinggal di premisnya di tapak projek di Kuala Berang, Hulu Terengganu jam 10.45 pagi pada 23 September lalu.

Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh, Ahmad Aidil Adzaiha Zakaria, 34, direkodkan mahkamah menetapkan 3 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kesemua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Noraznie Alias.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!