Peniaga jangan manipulasi harga: KPDNHEP

KPDNHEP Selangor akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan ketika PKPB.
KPDNHEP Selangor akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan ketika PKPB.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan tiada berlakunya sebarang manipulasi harga dalam kalangan peniaga.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan dan tinjauan sedang giat dijalankan berikutan pengumuman terkini kerajaan berkenaan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 6 Disember 2020 di negeri ini khususnya.

Menurutnya, pemeriksaan ini juga bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan seperti gula, tepung, minyak masak, beras, telur dan barangan basah sentiasa mencukupi sepanjang tempoh PKPB ini.

"KPDNHEP Selangor ingin memastikan bahawa tiada berlakunya sebarang manipulasi harga di kalangan para peniaga yang mana akhirnya akan membebankan rakyat serta pengguna.

"Selain itu, pemantauan pihak kami mendapati tiada berlaku pembelian panik oleh pengguna dan suasana perniagaan berlangsung seperti biasa. Malah, rata-rata peniaga yang ditemui juga akui perkara itu dan peningkatan jualan adalah biasa di mana pengguna keluar berbelanja di hari cuti hujung minggu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengguna juga diingatkan untuk tidak melakukan pembelian panik kerana sektor ekonomi dan premis perniagaan yang menjual barangan keperluan akan terus beroperasi seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, statistik pemeriksaan yang dijalankan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu berjumlah 8,900 premis meliputi pemborong, pembekal, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit serta pasar awam yang membekalkan barangan keperluan asas kepada pengguna.

"Jumlah aduan yang diterima oleh KPDNHEP Selangor dari 18 Mac 2020 sehingga 7 November lalu sebanyak 6,526 aduan membabitkan 127 aduan berkaitan isu barang keperluan asas serta 2,061 aduan berkaitan harga barangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peniaga diberi amaran agar jangan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga yang melampau semasa PKPB dan diharapkan semua peniaga dapat mematuhi peraturan perniagaan yang telah ditetapkan.

"Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan kekurangan bekalan keperluan atau manipulasi harga oleh peniaga disarankan supaya melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau melalui web pihak KPDNHEP atau boleh juga disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!