Semua sekolah seluruh negara ditutup mulai esok

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin (tengah) pada sidang media di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin (tengah) pada sidang media di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan semua sekolah di seluruh negara ditutup bermula esok hingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 dan 18 Disember ini membabitkan lebih lima juta pelajar dan murid.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, bukan sahaja sekolah di negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditutup, malah sekolah di Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak juga ditutup.

Menurutnya, KPM mengambil maklum pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan seluruh negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis bermula esok hingga 6 Disember depan.

"Mengambil kira pengumuman tersebut serta takwim persekolahan tahun 2020, KPM ambil keputusan menutup kesemua sekolah dan kolej vokasional di bawah KPM termasuk di negeri yang tidak dilaksanakan PKPB.

"Langkah ini diambil bagi membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya pada sidang media khas di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Dr Radzi berkata, bagi negeri di bawah Kumpulan A, hari akhir persekolahan pada 17 Disember 2020 manakala bagi Kumpulan B pada18 Disember 2020.

"Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara 'Home-based Learning' mengikut kesesuaian guru, pelajar dan murid.

"Pentadbir sekolah perlu memastikan guru, pelajar dan murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Di sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi pelajar dan murid yang tinggal di asrama pula, beliau berkata, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing dan murid boleh terus kekal berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, pelajar dan murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama selain keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah.

Radzi berkata, seperti mana Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021 yang diumumkan sebelum ini, penggal persekolahan akan bermula pada 20 Januari 2021.

"Semua murid sekolah rendah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut. Bagi sekolah menengah pula, pelajar Tingkatan Satu, Tingkatan Empat, Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam serta semua murid Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh sama.

"Pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga pula akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh sama tetapi secara Home-based Learning mengikut kesesuaian

guru dan pelajar," katanya.

Menurutnya, mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!