SPM, STPM dipinda ke Februari, Mac 2021

KPM meminda tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ke 22 Februari 2021. Gambar hiasan.
KPM meminda tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ke 22 Februari 2021. Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminda tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ke 22 Februari 2021.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula akan bermula pada 8 Mac 2021.

Menurutnya, pindaan tarikh itu melibatkan keseluruhan seramai 524,718 pelajar membabitkan 400,445 calon SPM, 92,964 (STPM), 23,313 (SVM) dan 7,996 (STAM).

"Mengambil kira situasi semasa, KPM telah membuat keputusan untuk meminda tarikh peperiksaan tersebut.

"Perincian tentang semua peperiksaan awam ini akan dimaklumkan dalam masa yang terdekat," katanya pada sidang media khas di KPM di sini hari ini.

Radzi berkata, bagi membantu calon-calon peperiksaan awam tahun 2020 membuat persediaan secukupnya sebelum menduduki peperiksaan, KPM memutuskan bahawa mereka akan menyambung persekolahan secara bersemuka di sekolah masing-masing mulai 20 Januari 2021.

"KPM berharap ruang yang ada ini akan dapat memberi manfaat kepada calon yang terkesan dengan penutupan sekolah.

"Kesemua ketetapan ini juga terpakai kepada sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM. Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk mengikuti ketetapan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, terdapat persoalan yang telah dibangkitkan mengenai kemasukan murid ke sekolah khusus termasuk Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Menengah Teknik, Kolej Vokasional dan Maktab Tentera Diraja.

Menurutnya, pelaksanaan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Selain itu, terdapat juga pertanyaan berkaitan peperiksaan percubaan SPM, kerja kursus serta pentaksiran yang telah dijadualkan sehingga Disember 2020 yang masih belum diselesaikan.

"KPM akan menjadualkan semula semua pentaksiran tersebut dan akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, pihaknya juga menerima pertanyaan berkaitan dengan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan institusi peringkat tertiari awam yang lain bagi tahun 2021.

Katanya, penjadualan semula peperiksaan awam itu tidak akan menjejaskan kemasukan pelajar ke institusi peringkat tertiari awam serta kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam melalui UPU Online yang dikendalikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!