Bajet RMK-11 pacu Program Podium, NFDP
PELAKSANAAN program persediaan atlet, khususnya Program Podium dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), akan diteruskan bawah belanja pembangunan sedia ada, sambungan dari Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan bahawa program persediaan atlet senior, khususnya Program Podium dan NFDP di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang tidak terjejas.
“Kita juga telah kemukakan beberapa program pembangunan sukan pilihan yang lain seperti badminton, olahraga, golf, akuatik dan beberapa sukan teras yang lain, untuk menyediakan barisan atlet pembangunan dan pelapis yang lebih berdaya saing.
“Perbincangan lanjut akan kami bincangkan dengan Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) bagi memastikan keberkesanan perlaksanaan program-program pembangunan atlet tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Belanjawan 2021, mengumumkan peruntukan RM55 juta untuk program pembangunan sukan hoki, ragbi, badminton, berbasikal, pembangunan atlet wanita, termasuk RM15 juta kepada pembangunan e-Sports.
Namun, timbul persoalan apabila pembangunan bola sepak atau NFDP tidak disebut bersama sukan-sukan berkenaan.
Ahmad Shapawi turut mengucapkan terima kasih kepada Reezal Merican yang telah meyakinkan pihak kerajaan untuk memperuntukkan bajet berkenaan untuk pembangunan sukan negara, walaupun sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Secara keseluruhannya, kita melahirkan kesyukuran bahawa dalam keadaan yang sukar ketika ini, kerajaan tidak melupakan kepentingan sukan prestasi tinggi dan harapan kita bahawa kita akan membawa kejayaan sukan negara, bagi membalas keyakinan yang telah diberikan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!