Kerajaan Sabah diminta pertimbang Pulau Bum-Bum sebagai daerah kecil

Kerajaan Sabah untuk mempertimbangkan Pulau Bum Bum, Semporna harus sebagai daerah kecil untuk memastikan pembangunan di kawasan terlibat. (Gambar kecil: Nixon)
Kerajaan Sabah untuk mempertimbangkan Pulau Bum Bum, Semporna harus sebagai daerah kecil untuk memastikan pembangunan di kawasan terlibat. (Gambar kecil: Nixon)
A
A
A

SEMPORNA - Kerajaan negeri diminta untuk mempertimbangkan semula bagi menguatkuasakan status Pulau Bum-Bum sebagai daerah kecil yang pernah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Semporna, Nixon Abdul Habi berkata, walaupun sudah diluluskan pada 2017 namun kerajaan Warisan Plus gagal meneruskan untuk menaik taraf Pulau Bum-Bum sebagai sebuah daerah kecil.

"Penaiktarafan Pulau Bum-Bum sebagai daerah kecil akan membawa banyak manfaat dan kebaikan kepada penduduk setempat yang diduduki oleh hampir 30,000 penduduk.

"Ini termasuk untuk pembangunan fizikal, ekonomi dan sumber manusia akan dapat dipercepatkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Katanya lagi, masalah kemudahan asas yang dialami penduduk di kawasan berkenaan akan lebih mudah ditangani dengan adanya daerah kecil itu.

"Masalah kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, komunikasi dan perhubungan akan dapat diatasi secara holistik dengan wujudnya pejabat daerah kecil di pulau ini.

"Pulau Bum-Bum layak untuk dinaik taraf sebagai daerah kecil kerana sudah memiliki kemudahan asas seperti sistem jalan raya, pusat kesihatan, sekolah rendah dan menengah, balai polis sementara serta bekalan air dan elektrik," katanya.

Tambah Nixon lagi, kegagalan kerajaan Warisan Plus mewujudkan daerah kecil di Pulau Bum-Bum secara tidak langsung membantutkan perkembangan dan pembangunan di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Nixon berharap dengan adanya kerajaan baharu yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor dapat merealisasikan hasrat rakyat di Pulau Bum-Bum supaya menjadi kenyataan.

"Ini juga bersesuaian dengan wawasan supaya kemakmuran dapat dirasai bersama terutama rakyat di pulau ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!