Akhirnya 'Wan Bomba' tumpas...
IPOH - Polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah kedai telekomunikasi selepas menahan dalangnya yang dikenali sebagai Wan Bomba dalam beberapa serbuan sekitar Perak sejak Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, suspek berusia 39 tahun itu merupakan bekas badan penyelamat itu telah bergiat aktif sejak empat bulan lalu bersama dua suspek lain termasuk seorang bekas tentera.
"Kumpulan suspek telah memecah masuk sebuah premis di Desa Naga Khantan pada 22 Januari lalu dan melarikan 70 telefon bimbit pelbagai jenama, kad tambah nilai dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM107,000.
"Susulan itu, tujuh suspek lain termasuk dua wanita yang menjadi pembeli dan penjual telah ditahan pada 26 hingga 29 Januari lalu di beberapa kawasan di Ipoh, Batu Gajah dan Gerik untuk membantu siasatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.
Menurutnya, hasil soal siasat berjaya membongkarkan dua kes sama di Kuala Kangsar dan Kampung Muhibbah, Sungai Siput yang melibatkan kerugian berjumlah RM58,000.
Sementara itu, polis turut berjaya menyelesaikan dua kes berlainan pecah kedai telekomunikasi di Pantai Remis, Manjung dan Parit Buntar.
"Di Manjung, Polis menahan seorang suspek berusia 33 tahun, kelmarin dan gerakan mengesan tiga rakan suspek sedang dijalankan.
"Bagi kes di Kerian, polis menahan keempat-empat suspek berusia 21 hingga 34 tahun yang terlibat dalam kejadian itu. Mereka telah direman untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun dengan bersenjatakan parang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!