Gabungan BN-Pas diramal menang PRU15
SHAH ALAM - Agensi perundingan, Ilham Centre meramalkan gabungan antara BN dan Pas bakal memberikan kemenangan pada PRU15 jika kegelisahan orang Melayu tidak dihiraukan Kerajaan PH.
Menurut satu analisis yang dikeluarkan hari ini, pada PRU14 lalu, Umno merancang untuk mendapat majoriti besar di Dewan Rakyat menerusi kerjasama dengan Pas dengan mewujudkan pertandingan tiga penjuru menentang PH namun rancangan itu gagal dan BN hilang penguasaan ke atas kerajaan persekutuan buat pertama kali dalam sejarah.
Jelasnya, BN hanya memenangi 32 kerusi Parlimen daripada 77 kerusi yang melibatkan pertandingan tiga penjuru, Pas (23 kerusi) dan PH (22 kerusi), namun secara keseluruhannya, Umno menang 54 kerusi dan Pas 18 kerusi, menjadikan jumlah keseluruhannya 71 ahli Parlimen.
"Kemenangan BN di 79 kerusi Parlimen pula akan bertukar menjadi kemenangan gabungan BN-Pas di 126 kerusi Parlimen jika Pas-BN betul-betul bergabung dan bertanding satu lawan satu dalam PRU14 lalu.
"Undi Melayu yang diperoleh PH tidak setinggi mana kerana kemenangan itu disumbangkan kira-kira 11 peratus peralihan undi. Para pengundi tidak konsisten dan ‘fragile’, boleh beralih ditambah kegelisahan mereka dalam banyak isu.
"Dalam undi yang diperoleh oleh PH sendiri pun banyak undi protes dan penolakan daripada penyokong Umno itu sendiri dan majoriti dari pengundi atas pagar. Undi PH ini sebenarnya masih minimum dan rendah terutama dikalangan orang Melayu," katanya.
Semalam agensi itu mendedahkan hasil kajian bersama bersama Penang Institute yang mendapati mendapati hampir 60 peratus masyarakat Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH selepas hampir 10 bulan mengambil alih pentadbiran negara.
Dapatan itu diperoleh menerusi kajian dijalankan dalam bentuk tinjauan secara rentasan (cross-sectional survey) ke atas 2,614 responden bagi tempoh 24 Oktober hingga 24 Disember tahun lalu.
Responden itu melibatkan masyarakat Melayu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang mewakili semua jantina, kumpulan umur dan tahap sosio ekonomi.
Dalam pada itu, agensi itu meramalkan antara kerusi PH yang dilihatnya berpotensi untuk tumbang adalah Kubang Pasu, Pokok Sena, Sungai Petani dan Kulim Bandar Baharu di Kedah.
"Di Perak antara kerusi yang mungkin tumbang adalah Parit Buntar, Tambun, Lumut dan Tanjong Malim. Sementara di Pahang, antara kerusi yang jadi perhatiannya adalah Raub, Indera Mahkota, Kuantan dan Temerloh.
"Begitu juga kerusi Kuala Selangor dan Kapar di Selangor, Titiwangsa di Kuala Lumpur, Kuala Pilah di Negeri Sembilan serta, Sri Gading dan Tanjung Piai di Johor serta Putatan di Sabah.
"Kesemua kerusi ini mempunyai jumlah gabungan undi PAS dan BN yang lebih tinggi berbanding jumlah undi daripada penyokong PH," ujarnya.
Katanya, jika berjaya merampas semula 30 kerusi ini, Umno dan BN akan berjaya mendapat majoriti mudah di Dewan Rakyat dengan tambahan beberapa kerusi dari parti MIC dan MCA.
"Selain gabungan undi ini juga, terdapat 16 lagi kerusi di kawasan majoriti Melayu yang dimenangi PH dengan majoriti kecil dalam PRU14.
"Bagaimanapun, perubahan undi ini bukan semudah memindahkan angka semata-mata kerana melibatkan banyak pertimbangan seperti pengiraan pengundi dan demografi yang berbeza," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!