Hasil 18 juta telur ayam, tapi tak mampu besarkan longkang najis
KALUMPANG - 'Harga telur ayam jatuh, tak mampu membeli peralatan dan memperbesarkan kolam takungan sisa najis ayam.'
Itu alasan diberikan pengurus di sebuah reban ayam yang mengeluarkan 18 juta telur ayam setiap bulan apabila premis tersebut gagal menguruskan sisa najis ayam dengan baik.
Atas kesalahan itu, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), mengambil tindakan menggantung lesen serta menutup operasi selepas premis berkenaan didapati melakukan kesalahan melepaskan sisa najis ayam berwarna hitam dan berbau busuk ke Sungai Gumut.
Situasi itu turut menimbulkan gangguan kepada penduduk setempat berikutan air sungai berbau busuk apabila melalui kawasan Kampung Gumut.
Wartawan yang dibawa ke lokasi premis terbabit mendapati sisa najis dari reban ayam disalurkan ke kolam takungan melalui longkang bersaiz kecil.
Sekatan longkang bagi mengalirkan sisa najis ke kolam takungan pula menggunakan kayu papan dan mengakibatkan limpahan air berwarna hitam yang berbau basuk.
Terdapat tiga kolam takungan sisa najis namun saiznya tidak dapat menampung kapasiti sisa najis dari 1.2 juta ayam di reban berkenaan yang berkeluasan 100 ekar.
Kolam takungan turut tidak diselenggara dengan baik dan ada saluran keluar mengalir sisa najis.
Ketika tindakan operasi penutupan dilakukan, pengurus yang dipanggil dengan gelaran 'doktor' itu mendakwa gagal mendapat temu janji dengan MDHS bagi membincangkan hal berkenaan.
"Boleh tak petang ni pukul 3 saya mahu berjumpa dengan setiausaha majlis daerah," katanya sebaik diminta menandatangani surat arahan penutupan dan menyerahkan lesen premis.
Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada penduduk sejak dua tahun lalu berhubung pencemaran sungai dan bau busuk.
Menurutnya, premis itu beroperasi sejak 1994 dan ada pertukaran pengurusan."Kita pernah keluarkan notis pada 11 Ogos 2017 atas kesalahan menyebabkan limpahan kumbahan ke aliran sungai.
"Pada 14 September 2017, premis ini sudah membuat tindakan pemulihan dengan menutup kolam dan bersihkan saliran ke sungai."Pada 31 Disember 2018, pemeriksaan lanjut dilakukan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MDHS berikutan masih ada aduan penduduk," katanya.
Shukri berkata, operasi bersepadu dijalankan pada 10 Januari 2019 bagi memeriksa laluan keluar bahan sisa pencemaran dan mengambil sampel air pelepasan kolam takungan.Menurutnya, selain saiz kolam takungan kecil, terdapat dua kolam lama yang mempunyai bahan pencemaran yang mengalir ke sungai berdekatan.
"Hari ini kita lakukan operasi penutupan selaras dengan keputusan Mesyuarat Penuh MDHS yang sebulat suara menyokong penutupan premis ini adalah perlu dan bermanfaat untuk kepentingan awam.
"Tindakan diambil mengikut Seksyen 43(1)(a), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007.
"Pihak premis diberi tempoh 14 hari untuk memastikan tiada pelepasan air sisa atau kumbahan sama ada pepejal atau cecair ke anak sungai, lesen premis turut digantung," katanya.Shukri berkata, operasi penutupan itu melibatkan 46 kakitangan termasuk Ahli MDHS, Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Syarikat Air Selangor (Ais) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan bagi memastikan premis patuh pada peraturan ditetapkan
Semua kenderaan termasuk lori turut diarah diletakkan di luar kawasan premis dan pintu pagar utama dikunci.
#huluselangor Operasi penutupan sebuah reban ayam penelur yang dikenal pasti menjadi punca pencemaran sungai dan bau busuk. [ARTIKEL PENUH : https://www.sinarharian.com.my/article/10919/EDISI/Selangor-KL/Hasil-18-juta-telur-ayam-tapi-tak-mampu-besarkan-longkang-najis ] Laporan: MOJO Sinar Harian Selangor MOHD RIDZUAN ABU HASSAN
Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Friday, February 1, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!