Kementerian Hal Ehwal Sabah, Sarawak bawah PN gagal: AMK Sabah
KOTA KINABALU - Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat gagal berfungsi apabila Sabah hanya mendapat sedikit peruntukan dalam Belanjawan 2021 berbanding Semenanjung.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Raymond Ahuar berkata, Sabah dan Sarawak sudah tertinggal jauh dari arus pembangunan walaupun hasil negara kebanyakannya dari dua wilayah di kepulauan Borneo ini.
"Saya amat terkilan dengan peruntukan yang diumum untuk Sabah pada Belanjawan 2021 yang mana hanya RM5.1 bilion diperuntukkan, kurang sehingga RM100 juta daripada yang diperuntukkan pada 2020.
"Dalam situasi kritikal pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda Sabah, rakyat mengharapkan peruntukan lebih untuk Sabah. Namun ia amat mengecewakan apabila dikurangkan ketika Sabah memerlukan peruntukan lebih. Saya melihat kegagalan fungsi dan peranan Kementerian hal ehwal Sabah dan Sarawak kerana mendapat sedikit peruntukan berbanding dengan Wilayah Malaya (Semenanjung)," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau dalam pada itu turut melihat bahawa belanjawan kali ini sesuai dengan perjuangan beberapa pimpinan parti tempatan yang bersama dengan kerajaan PN yang kononnya memperjuangkan hak-hak Sabah dan Sarawak.
"Saya yakin rakyat Sabah yang memilih PN dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini pasti berasa menyesal apatah lagi apa yang diumumkan Menteri Kewangan tidak seperti dijanjikan semasa berkempen di Sabah.
"Ternyata mengembalikan tampuk kekuasaan kepada BN dan PN satu kesilapan dan saya berharap, rakyat akan menilai dan menghukum kerajaan PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang," katanya.
Terdahulu, Raymond yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan Malaysia berkata, pihaknya memahami bahawa terdapat 12 negeri di Semenanjung namun Sabah perlu kembalikan apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau secara kasar hari ini melihat kepada saiz ketiga-tiga wilayah ini.
"Seperti sedia maklum Sabah merupakan salah satu dari tiga wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia termasuk Sarawak dan Tanah Melayu.
"Apa kami inginkan adalah pemberian yang adil sama ada peruntukan belanjawan dibahagikan satu per tiga kepada Sabah dan Sarawak atau peruntukan dibahagi dua antara Semenanjung dan tanah Borneo.
"Ini bermaksud secara geografi Sabah layak menerima 25 peratus, Sarawak 25 peratus dan 50 peratus tanah Semenanjung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!