Lantikan YADIM tiada kaitan politik, kata Fuziah

Fuziah ( tengah) bersama pelajar SMJK Tanah Putih selepas Majlis Penyerahan Bantuan Murid Miskin dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kaligrafi Daerah Kuantan, hari ini.
Fuziah ( tengah) bersama pelajar SMJK Tanah Putih selepas Majlis Penyerahan Bantuan Murid Miskin dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kaligrafi Daerah Kuantan, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Pelantikan 10 ahli politik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) tidak ada kena mengena dengan lantikan disebabkan faktor politik semata-mata.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, lantikan itu dibuat bersandarkan latar belakang mereka sebagai aktivis sosial.

Menurutnya, kebanyakannya sudah menjadi aktivis sejak sekian lama, malah ada yang menjangkau puluhan tahun.

“Sebagai contoh seperti Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dari PKR memang sudah berpuluh tahun menjadi aktivis masyarakat, namun baru-baru ini sahaja pegang jawatan sebagai Ahli Parlimen.

“Jadi, jangan memperkecilkan peranan mereka ini sebagai aktivis. Saya yakin mereka boleh memberi sumbangan yang besar kepada YADIM berdasarkan pengalaman ketika menjadi aktivis," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Murid Miskin dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kaligrafi Daerah Kuantan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tanah Putih, hari ini.

Sebelum ini, pelantikan Ahli Lembaga Pemegang YADIM itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk NGO kerana hampir kesemua yang dilantik adalah wakil daripada parti politik.

Namun, perkara itu dipertahankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dengan mendakwa pelantikan itu dibuat berdasarkan merit, kelayakan dan pengalaman bukannya atas faktor politik walaupun ada antaranya adalah Ahli Parlimen dan Adun.

Artikel Berkaitan:

Antara ahli politik yang dilantik adalah Adun DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, enam individu dari Parti Amanah termasuk Nik Omar Nik Abdul Aziz; Timbalan Yang Dipertua YADIM, Zolkharnain Abidin; Datuk Abdul Ghani Shamsuddin; Ahmad Sayuti Bashiron; Shamsul Ma’arif Ismail dan Maznah Daud.

Turut dilantik adalah wakil PKR yang juga Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip dan seorang wakil daripada Bersatu yang juga Ketua Bahagian Bersatu Cheras, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.

Menyentuh perkara itu, Fuziah berkata, lantikan mereka adalah untuk membawa pemikiran PH di dalam YADIM dan dalam masa yang membawa pengalaman mereka ketika menjadi aktivis ke dalam yayasan ini.

Beliau tidak mahu seperti kerajaan dahulu yang melantik orang politik tanpa ada latar belakang NGO.

“Sebab itu lantikan ini adalah berbeza. Saya rasa aktiviti mereka ketika menjadi aktivis sebelum ini boleh menyumbang kepada membangunkan YADIM.

“Kebetulan mereka ada latar belakang politik dan ini penting juga untuk memastikan bahawa arah dan hala tuju PH itu dibawa bersama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!