Wartawan politik CNN menangis ulas kemenangan Biden
WASHINGTON - Seorang wartawan politik rangkaian televisyen CNN, Van Jones menangis teresak-esak ketika diminta mengulas mengenai kemenangan calon Demokrat, Joe Biden yang menewaskan Donald Trump pada pagi Sabtu lalu.
Beliau yang ditanya oleh pengacara rangkaian televisyen itu, Anderson Cooper bagi mendapatkan pandangannya tentang kemenangan Biden dalam pilihan raya tersebut berkata: "Ini adalah sesuatu yang wajar untuk sebahagian besar orang yang menderita (di bawah pemerintahan Trump).
Jones kemudian menambah: Adalah lebih baik menjadi ibu bapa pada pagi ini. Adalah lebih baik menjadi seorang bapa pada pagi (Sabtu) ini. Adalah lebih mudah untuk memberitahu anak-anak (bahawa) anda (perlu) menjadi seorang yang baik."
Beliau kemudian menyiarkan klip videonya yang menunjukkannya sedang memberikan reaksi tentang kemenangan Biden itu menerusi Twitter.
Jones yang tidak dapat mengawal perasaannya dengan air matanya mengalir di pipinya kemudian meneruskan reaksi kepada soalan Cooper dengan berkata: "Saya tidak boleh bernafas. Bukan hanya George Floyd (lelaki kulit hitam yang meninggal dunia yang didakwa tidak dapat bernafas kerana lehernya ditekan oleh kedua-dua lutut seorang pegawai polis berkulit putih ketika ditahan kerana menggunakan wang palsu di Minneapolis).
"Terdapat ramai orang yang berasa mereka tidak boleh bernafas (ketika berada di bawah pemerintahan Trump)."
Pada bulan lalu, sejumlah penunjuk perasaan melakukan tunjuk perasaan bagi membantah tindakan sebuah mahkamah kerana membebaskan lelaki kulit putih, Derek Chauvin dari sebuah penjara.
Chauvin kini tidak lagi menjadi pegawai polis dengan jaminan sebanyak AS$1 juta (RM4.13 juta) dan dibebaskan bagi menunggu tarikh perbicaraan pada Mac tahun depan berhubung kes pembunuhan Floyd yang meninggal dunia pada 25 Mei lalu.
Dalam pada itu, Jones menambah: "Saya meminta maaf untuk penduduk (penyokong Trump) yang kalah. Bagi mereka ia bukan hari yang baik tetapi bagi sebahagian besar penduduk, ia merupakan hari yang baik."
Pada pagi Sabtu lalu, Biden, 77, berjaya memperoleh 290 undi elektoral selepas memenangi 20 undi elektoral di negeri Pennsylvania dan enam undi elektoral di Nevada.
Ia sekali gus menewaskan Trump daripada parti Republikan, 74, yang mendapat 214 undi elektoral ketika pengiraan undi masih berjalan di tiga buah negeri lain di AS.
Biden akan mengangkat sumpah jawatan Presiden pada Januari tahun depan.
Pelakon, Mark Ruffalo merupakan antara ratusan pengguna media sosial yang memuji kenyataan Jones itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!