Parker marah, kecewa pemain gagal sempurnakan penalti
[DIKEMAS KINI] PENGENDALI Fulham, Scott Parker mengakui dia kecewa dan marah apabila menyaksikan pemainnya Ademola Lookman gagal menyempurnakan sepakan penalti menerusi sepakan ala Panenka ketika berdepan West Ham kelmarin.
Parker berkata, sepakan ala Panenka daripada Lookman yang juga sepakan terakhir bagi perlawanan berkenaan, nyata tidak menjadi sehingga berjaya diselamatkan penjaga gol The Hammers, Lukas Fabianski dan sekali gus menafikan usaha The Cottagers untuk menjaringkan gol penyamaan.
Menurutnya, kegagalan Lookman menyempurnakan sepakan penalti yang juga sepakan terakhir bagi perlawanan berkenaan itu sekali gus menafikan hasrat pelawat untuk membawa pulang satu mata.
“Saya kecewa dan marah. Pemain tidak boleh mengambil sepakan penalti seperti itu dan dia (Lookman) sendiri tahu mengenainya.
“Dia masih muda dan melakukan kesilapan dan dia perlu belajar dengan segera. Dia juga kecewa dan kami akan menasihatinya bahawa perkara seperti itu adalah lumrah dalam bola sepak.
“Dia sebenarnya seorang pemain yang bagus sejak menyertai Fulham, cuma dia perlu mengembalikan keyakinan dirinya kerana apabila muda, kita sering melakukan kesilapan,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, West Ham perlu menunggu hingga ke masa kecederaan bagi menjaringkan gol pembukaan hasil jaringan Tomas Soucek.
Sejurus sebelum wisel penamat, Fulham pula mendapat peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila diberikan sepakan penalti setelah Video Pembantu Pengadil (VAR) mengesan kekasaran dilakukan kepada penyerang The Cottagers, Tom Cairney.
Bagaimanapun Lookman gagal menyempurnakan sepakan penalti berkenaan apabila sepakan penalti yang dilaksanakan menerusi kaedah sepakan Panenka itu gagal menghasilkan jaringan.
Sementara itu, lagenda bola sepak England, Ian Wright menyelar kegagalan pemain muda itu menyempurnakan sepakan penalti berkenaan.
Katanya, tindakan Lookman untuk melakukan sepakan ala Panenka itu nyata satu tindakan yang tidak profesional terutamanya pada saat-saat genting perlawanan berkenaan.
“Tindakan itu adalah satu tindakan yang tidak profesional yang saya tidak pernah saksikan bagi satu tempoh yang agak lama.
“Saya tidak tahu apa yang difikirkan pemain itu. Ia mengecewakan dan tidak profesional kerana dia perlu menjaringkan gol menerusi penalti berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!