Melayu gemar berpersatuan, berpolitik: MB Perak
BERUAS - Sikap dan budaya masyarakat Melayu masa kini yang gemar berpersatuan dan berpolitik hingga bercakaran amat membimbangkan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, masyarakat Melayu perlu melupakan sebentar perbezaan fahaman politik bagi memajukan kawasan mereka terutamanya apabila berlaku pertukaran pimpinan kerajaan.
"Masing-masing ada pendirian, yang saya fikirkan kita sebagai rakyat Perak ketepikan soal politik terutamanya kepada Melayu, saya amat bimbang kerana sikap kita gemar berpersatuan dan politik.
"Ini bukan masa kita bercakaran kita perlu bertindak bijak apabila berlaku peralihan kuasa negara kita masih aman tidak seperti negara lain," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dataran Beruas dan Penyampaian Geran Tanah, di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Faizal lagi, masyarakat Melayu juga perlu berubah dan menjadi rakyat yang bertanggunjawab supaya tidak terbuai dengan sikap bergantung kepada bantuan pelbagai pihak.
"Kita perlu berubah dan kalau kita tidak berubah, berharap bantuan daripada pelbagai pihak saya fikir selepas 60 tahun lalu hingga hari ini kita tidak akan pergi jauh kerana ini negeri kita, bila kita berusaha dahulu ALLAH S.W.T akan permudahkan urusan kita dan diberi segala kemudahan yang kita inginkan.
"Banyak kerja perlu dilaksanakan untuk mengembalikan kegemilangan negara ini dan ini tidak akan berjaya jika kita masih terus berpolitik di semua peringkat sama ada di kedai kopi, masjid serta sekolah," katanya.
Tambahnya lagi, pentadbiran Kerajaan PH Perak juga mengamalkan politik kasih sayang di mana apa sahaja perkara yang baik dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan.
"Kalau benda baik kita akan teruskan serta cuba memperbaikinya tetapi jika ia salah, kita tetap akan lawan hentikan kerana kami buat ini untuk rakyat, bukan kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!