PKPB: Tindakan tegas terhadap peniaga yang sorok barang
MELAKA TENGAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka memberi amaran kepada peniaga di negeri ini yang degil menyorok bekalan makanan asas.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata demikian berikutan sebanyak 23 kes dilaporkan bermula Januari hingga 7 November lalu membabitkan 23 pemborong dan peruncit yang dikenakan kompaun kerana didapati melakukan perbuatan tersebut.Menurutnya, pihak terbabit tidak seharusnya melakukan tindakan tersebut yang akan menyusahkan pengguna lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP) bermula esok dan menjelang musim perayaan Deepavali yang tinggal beberapa hari lagi.
"Sekiranya ada yang melakukan kita akan ambil tindakan kompaun dan penalti serius. Jadi jangan salahkan kerajaan jika dikenakan kompaun disebabkan ingkar," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sesi 'walkabout' pemantauan harga barangan sempena PKPB dan perayaan Deepavali di sebuah pasar raya di Cheng di sini hari ini.
Norena berkata, orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat kepada pihaknya sekiranya mendapati sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan isu kepenggunaan termasuk membabitkan isu pencatutan.Sementara itu, beliau juga memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi termasuk menjelang musim perayaan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!