Tidak berlaku pembelian panik di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati tiada pembelian panik dalam kalangan pengguna di ibu negara sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih dilaksanakan.
Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, ia kemungkinan disebabkan sektor ekonomi di Lembah Klang masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.
"KPDNHEP Kuala Lumpur bagaimanapun masih kekal melakukan pemeriksaan harian bekalan barangan keperluan asas seperti minyak masak, gula, tepung pada setiap hari untuk memastikan bekalan tidak terputus.
"Untuk rekod, sebanyak 189 notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 dikeluarkan ke atas premis perniagaan setakat sehingga Oktober 2020. Ini bagi memastikan tiada elemen pencatutan dan keuntungan yang tidak munasabah diambil peniaga," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Ariffin selain itu berkata, sejak Januari sehingga semalam pihaknya telah menerima sebanyak 8,337 aduan daripada orang ramai.
Katanya, pihaknya memberi amaran keras terhadap peniaga supaya tidak menaikkan harga untuk mengaut keuntungan berlebihan semasa PKPB.
"Orang awam yang ingin membuat aduan ataupun menyalurkan maklumat kekurangan bekalan atau salah laku peniaga bolehlah menghubungi 03-4045 4471 (Bilik Gerakan KPDNHEP WPKL) atau melalui aplikasi WhatsApp 019-2794319 atau melalui browser E-Aduan KPDNHEP," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!