PKPB: Kementerian jamin tiada lambakan hasil pertanian, penternakan
GERIK - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memberi jaminan isu lambakan sayur, ikan dan ayam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula esok tidak akan berlaku seperti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, lambakan hasil pertanian dan penternakan sebelum ini adalah disebabkan masalah logistik serta kekeliruan pihak pengeluar mengenai kaedah memasarkan produk semasa tempoh PKP.
"Pihak kementerian mengambil tindakan segera dengan membuka bilik gerakan dan menjawab semua soalan yang diajukan mereka (petani, penternak dan nelayan) dan akhirnya masalah itu dapat diselesaikan di setiap rantaian bekalan serta pemasaran makanan.
"Kita berharap pihak pengeluar (petani, penternak dan nelayan) sentiasa berhubung dengan kementerian atau agensi yang berkaitan kerana sebelum pengeluaran sesuatu hasil, kena cuba selesaikan masalah pemasaran (sekiranya ada) terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Ladang Sinergi Zon Industri Akuakultur (ZIA) Tasik Temenggor yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak Zaki Mokri di sini hari ini.
Che Abdullah juga memberi jaminan bahawa bekalan makanan harian dan barangan keperluan asas adalah mencukupi sepanjang tempoh PKPB selama empat minggu yang bermula esok.
"Sektor pengeluaran makanan merupakan sektor penting, sektor ini tidak akan terhenti dan terus digerakkan namun mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam mengawal penularan koronavirus (Covid-19).
"Kementerian sentiasa memberi galakan kepada para usahawan makanan, penternak, petani dan nelayan supaya terus mengeluarkan makanan dan kementerian akan menjaga setiap rantaian daripada proses pengeluaran sehinggalah sampai kepada pengguna," katanya.
Mengulas mengenai ladang ZIA yang berkeluasan 100 hektar itu, beliau berkata, ia dijadikan pusat projek penternakan ikan tilapia spesies GenoMar Supreme (GST) dalam sangkar diterajui Trapia Malaysia Sdn Bhd sejak 2011.
Che Abdullah berkata, menerusi konsep pemindahan teknologi, peserta dipilih untuk menjalani latihan dan aktiviti penternakan dengan bimbingan syarikat itu manakala Jabatan Perikanan negeri pula berperanan memantau projek secara keseluruhan.
"Sehingga kini, seramai enam peserta yang masih aktif melaksanakan aktiviti penternakan ikan tilapia dalam sangkar. Projek ini rantaian daripada pembenihan sehinggalah kepada pemprosesan untuk dieksport ke negara Eropah,” katanya.
Katanya, setiap peserta dibekalkan dua unit sangkar dan kira-kira 200 tan ikan dihasilkan dengan dua kali pusingan setahun dan mampu menjana pendapatan sebanyak RM900,000 pada kadar jualan RM4.50 bagi setiap kilogram. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!