Nahas helikopter: BSKU akan panggil mangsa untuk siasatan

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat kelihatan membawa keluar dua mayat dari sebuah helikopter yang terhempas di kawasan Taman Melawati Ampang hari ini. - Foto Bernama
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat kelihatan membawa keluar dua mayat dari sebuah helikopter yang terhempas di kawasan Taman Melawati Ampang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan memanggil dua mangsa yang terselamat dalam nahas helikopter terhempas di Jalan Taman Melawati di sini esok bagi membantu siasatan, kata Ketua Inspektor Kemalangan Udara BSKU, Brigedier Jeneral Izani Ismail.

"Pada hari ini, kedua-dua mangsa telah dibawa untuk menerima rawatan lanjut di hospital, jadi esok kedua-dua mangsa akan dipanggil oleh BSKU bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga berkata, kedua-dua helikopter jenis pesawat ringan itu tidak mempunyai kotak hitam.

“Kotak hitam hanya terdapat pada jenis helikopter yang saiznya lebih besar dan berat,“ katanya ketika ditanya sama ada helikopter itu mempunyai kotak hitam yang merupakan alat penting jika berlaku nahas udara.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua maut helikopter terhempas

Bernama yang berada di lokasi kejadian menyaksikan bangkai helikopter itu dibawa keluar selepas mengambil masa hampir sejam untuk dileraikan dan dibawa ke Subang menggunakan treler panjang bagi urusan siasatan selanjutnya.

Dalam insiden itu, dua lelaki maut manakala dua lagi termasuk seorang wanita selamat dalam nahas melibatkan dua helikopter yang dipercayai berlanggar di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas di kawasan semak di Taman Melawati.

Bernama melaporkan bahawa helikopter berwarna biru yang terhempas itu diterbangkan oleh Mohamed Sabri Baharom manakala sebuah lagi diterbangkan oleh Datuk Ahmad Jauhari Yahya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia Berhad yang kini dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang terselamat iaitu Ahmad Jauhari, 66, dan Tan Chai Eian, 51, hanya mengalami kecederaan ringan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!