Polis Thailand guna semburan meriam air lagi
BANGKOK - Polis Thailand hari ini menggunakan semburan meriam air ke arah kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi ketika mereka mahu berarak ke Istana Besar untuk menyampaikan petisyen bagi menuntut pembaharuan undang-undang monarki.
Pihak berkuasa bertindak sedemikian selepas amaran mereka tidak diendahkan kira-kira 5,000 peserta protes terbabit yang berhimpun di Monumen Demokrasi di Bangkok.
Tindakan itu bagaimanapun, mencetuskan kemarahan mereka dan kebanyakannya turut mempersoalkan penggunaan meriam air tersebut memandangkan mereka tidak bertindak ganas dan berarak secara aman.
Terdahulu, polis telah memberi amaran awal bahawa sebarang demonstrasi dilarang memasuki kawasan lingkungan 150 meter sekitar istana malah kira-kira 9,000 anggota keselamatan turut dikerah untuk mengawal keselamatan.
Difahamkan, konfrontasi tersebut menyaksikan kali kedua pihak berkuasa menggunakan semburan meriam air terhadap penunjuk perasaan.
Sebelum mereka mula berarak ke Istana Besar, kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan itu turut melaungkan slogan menuntut pengunduran Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha sambil menunjukkan isyarat hormat tiga jari yang menjadi simbol gerakan tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Pemimpin terkenal kumpulan protes itu turut menggesa Raja Maha Vajiralongkorn untuk berdialog dengan mereka.
"Kami berharap tuanku dapat menjadi raja kepada seluruh rakyat untuk kali ini.
"Saya berharap tuanku sudi mengadakan sesi dialog dengan kami untuk menyelesaikan isu ini secara bersama," kata peguam, Anon Numpa.
Ketika insiden itu, sekumpulan kecil penyokong pro-Raja Maha turut berhimpun di Monumen Demokrasi sambil membawa potret baginda, namun mereka meninggalkan lokasi tersebut kerana kurang mendapat sambutan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!