Kemenangan Biden disambut umpama pesta besar-besaran
NEW YORK - Beribu-ribu rakyat Amerika Syarikat (AS) memenuhi jalan raya di bandar-bandar seluruh negara itu bagi meraikan kemenangan calon Demokrat, Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-46.
Dari bandar raya New York ke Miami di timur AS dan Denver serta Austin di barat negara tersebut, para penyokong Biden memenuhi jalan-jalan raya selepas stesen televisyen CNN dan lain-lain syarikat media melaporkan beliau memenangi pilihan raya itu.
Sejumlah penduduk turut menari, menyembunyikan hon kenderaan dan gembira berikutan kemenangan tersebut selepas pilihan raya Presiden AS diadakan pada 3 November lalu manakala pemenangnya hanya diketahui pada pagi Sabtu lalu.
Di Washington DC, sejumlah penyokong Biden memenuhi jalan-jalan raya di hadapan Rumah Putih dan di Plaza Black Lives Matter selepas keputusan pemenang pilihan raya itu diketahui.
Menurut CNN, jalan raya yang berdekatan dipenuhi dengan orang ramai yang menjerit dan menyanyikan lirik 'nah nah nah nah, hey hey hey goodbye (selamat jalan)'.
Sambutan orang ramai di bangunan berhampiran Rumah Putih telah menyebabkan kesesakan jalan raya dengan sebahagian penyokong Biden duduk di atas kereta dan pemandu kenderaan menggenggam tangan.
Seorang individu berjalan ke arah Plaza Live Matter dengan memegang poster bertulisan tangan yang tertera ayat 'Mimpi buruk sudah berakhir'.
Sejumlah orang yang berada di luar Rumah Putih kemudian menyanyikan lagu YMCA daripada kumpulan Village People yang pernah popular pada tahun 1978.
Lagu itu sebelum ini digunakan oleh Trump untuk menutup perhimpunan kempen pilihan raya Presidennya.
Beliau juga pernah menari mengikut alunan lagu tersebut selepas berucap dalam perhimpunan kempennya.
Bagaimanapun, Trump tidak berada di Rumah Putih pada pagi itu sebaliknya pergi bermain golf di sebuah kelabnya di Virginia ketika keputusan pemenang pilihan raya
tersebut diketahui.
Dalam keputusan yang dilaporkan media AS pada pagi Sabtu lalu, Biden, 77, daripada parti Demokrat berjaya memperoleh 290 undi elektoral selepas memenangi 20 undi elektoral di negeri Pennsylvania dan enam undi elektoral di Nevada.
Ia menunjukkan Biden berjaya menewaskan Trump daripada parti Republikan, 74, yang mendapat 214 undi elektoral ketika pengiraan undi masih berjalan di dua buah negeri lain di AS.
Biden pernah menjadi Naib Presiden AS ketika Barack Obama menjadi Presiden selama dua penggal dari tahun 2009 hingga 2017.
Menurut laporan portal berita NBC, di bandar raya New York, orang ramai keluar dari rumah untuk meraikan hari yang dianggap bersejarah itu.
Orang ramai dilaporkan bersorak ekoran kemenangan Biden di Plaza Garang Army, Columbus Circle, Washington Square Park dan berdekatan Fort Greene Park, Brooklyn.
Sementara itu, sambutan meraikan kemenangan juga diadakan di Wilmington, Delaware, Atlanta, Seattle dan Minneapolis.
"Saya berasa teruja. Saya amat berharap akan terdapat satu era baharu," kata seorang individu, Raven Jordon kepada NBC Philadelphia.
Di California pula, orang ramai meraikan sambutan kemenangan di Los Angeles, San Diego, San Francisco dan Oakland yang mana Datuk Bandarnya, Libby Schaff menyuarakan rasa bangganya apabila Kamala Harris yang berasal dari Oakland akan menjadi Naib Presiden AS yang pertama daripada penduduk berkulit hitam.
Harris mempunyai ibu yang berasal dari India manakala bapanya pula adalah dari Jamaica.
Biden dan Harris akan mengangkat sumpah jawatan pada Januari tahun depan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!