Kisah kejayaan usahawan padi dibukukan
ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menghargai jerit perih pesawah apabila membukukan kisah kejayaan seramai 155 usahawan padi yang berjaya.
Buku Hamparan Kejayaan Usahawan Padi 2019-2020 MADA dilancarkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada Majlis Libat Urus Menteri Besar bersama Peladang Mada di Ibu Pejabat MADA di Ampang Jajar di sini baru-baru ini.
Ia merekodkan kejayaan pesawah MADA yang memperjuangkan industri padi sebagai industri yang memberi pulangan lumayan.
Muhammad Sanusi berharap lebih ramai usahawan padi berjaya dilahirkan di bawah MADA dengan mengusahakan penanaman padi berskala besar.
“Mengusahakan sawah melebihi lima hektar bukanlah perkara mustahil. MADA telah berjaya membangunkan seramai 155 peladang sebagai usahawan padi yang mengusahakan sawah seluas 10 hingga 70 hektar.
“Tahniah kepada pesawah-pesawah berkenaan dan MADA atas penerbitan buku yang boleh dijadikan pencetus semangat,” katanya.
Sementara itu, usahawan padi berjaya, Mohd Firdaus Zulkepli, 34, dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sanglang berkata, sektor pertanian berpotensi sekiranya dibangunkan dalam skala besar, selain memberi pulangan lumayan.
“Kerjaya ini ada masa depan jika dilakukan bersungguh-sungguh. Untuk serelung, purata pendapatan antara RM2,200 hingga RM3,500.
“Saya nasihatkan anak muda ceburi dahulu bidang ini, baru tahu susah senang petani. Sekarang pendapatan lumayan, bukan macam dulu,” kata lepasan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) dalam bidang kejuruteraan awam itu.
Menurutnya, pada awalnya dia hanya membantu neneknya mengusahakan sawah seluas 30 relung, namun akhirnya minat itu sebati dalam jiwanya.
“Walaupun ada sijil dan pernah kerja dalam bidang berkaitan selama setahun, saya tidak dapat teruskan sebab minat dunia pertanian. Selepas itu saya buat sepenuh masa. Sawah disewa dan dibeli sehingga kini ada sebanyak 250 relung,” katanya.
Farid Mohamad @ Md Basir, 35, dari PPK Pengkalan Kundor Tun Adam Malik pula berkata, dia memulakan tanaman dengan tiga relung dan kini keluasan sawah mencecah lebih 100 relung dalam tempoh 10 tahun.
“Sasaran saya kini ke arah tanaman berskala besar untuk tingkatkan pendapatan. Apabila sawah semakin luas, kita perlukan jentera sendiri agar mudah menguruskannya tanpa bergantung kepada pihak ketiga.
“Gunakan kemudahan dan teknologi terkini, selain bantuan dan khidmat nasihat MADA,” katanya.
Menurutnya, petani perlu bersedia menerima perubahan teknologi seperti drone agar hasil padi meningkat susulan kos buruh sukar diperoleh dan mahal.
Rakannya, Ahmad Basri Othman, 28, berkata, dia mahu anak muda memilih kerjaya berkenaan kerana banyak bantuan yang disalurkan kerajaan.
“Rugi jika anak muda tidak nampak potensi kerjaya ini. MADA telah buat pelbagai program. Gerak kerja semakin baik dengan adanya teknologi.
“Ia bukan lagi kerjaya ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan bergelumang kotor,” katanya.
Beliau yang bertani sejak 12 tahun lalu berkata, bantuan MADA banyak membantu mengurangkan beban pesawah dan kemudahan tersebut wajar dimanfaatkan anak muda.
Mohd Fadli Hashim, 35, dari PPK Titi Haji Idris pula berkata, beliau tetap bertani walaupun mempunyai peker-jaan tetap kerana minat yang mendalam.
“Saya tidak kisah lakukan dua kerja serentak. Hampir 10 tahun saya bergelar petani, bermula dengan menyewa serelung sebelum buat pinjaman untuk tambah keluasan sawah sehingga 150 relung.
“Saya ceburi atas dorongan melihat kepayahan ayah sebagai petani dan berazam untuk jadi tauke padi. Sekarang impian saya tercapai,” katanya.
Menurutnya, kerjasama antara petani juga penting bagi mengurangkan kos operasi.
“Contohnya, saya beli sebanyak tiga mesin tuai padi, A beli drone dan B beli traktor. Kami gunakan secara bergilir-gilir dan sewa untuk dapat keuntungan.
“Kos dapat dikurangkan, malah saya turut dibantu MADA untuk poses pemulihan tanah kembali subur,” katanya.
Bagi Noor Shamsiah Tafadzol, 37, dari PPK Simpang Empat, beliau menceburi sektor pertanian sejak tahun 2009 sejurus tamat persekolahan.
“Saya mengerjakan 60 relung sawah dan harap dapat tingkatkan hasil padi sehingga tiga tan sehektar berbanding kini dua tan.
“Sebab itu saya selalu ikuti program dan kursus anjuran MADA untuk tambah ilmu,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!