Peruntukan RM85.5 juta kepada Jasa terlalu besar
SHAH ALAM - Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan peruntukan kepada cadangan mewujudkan semula Jasa sebanyak RM85.5 juta adalah terlalu besar.
Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut menyifatkan bajet itu tidak sensitif kepada 'keutamaan' ketika negara dilanda gelombang ketiga pandemik koronavirus (Covid-19).
"Justeru, Jasa tidak perlu peruntukan sebesar RM85.5 juta kecuali kalau ada tujuan lain. Yang penting keberkesanan. Perdana Menteri kena jawab secara terperinci di Parlimen," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah juga tidak perlu bersikap defensif apabila menyifatkan cadangan mewujudkan semula Jasa tiada kaitan dengan politik kerajaan.
“Dalam kenyataannya, Jasa akan bertindak sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi kerajaan secara strategik. Itu memang tujuan Jasa. Ia tetap dikaitkan dengan politik. Jangan apologetik,” katanya.
Mohd Puad mengakui, sebagai 'government of the day' pihak kerajaan memerlukan beberapa agensi sebagai lidah penyampai dasar dan inisiatif kerajaan dan tujuan itu tidaklah menjadi satu kesalahan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan adalah lebih baik dan elok sekiranya kerajaan dapat membuat pindaan sebelum Belanjawan 2021 itu diluluskan mengikut syiling tahun 2018 atau dikurangkan sedikit.
Untuk rekod, pada 2018 semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) peruntukan diberikan kepada Jasa adalah RM30 juta untuk digunakan terhadap 272 kakitangan, namun kini Jasa dengan dana RM85.5 juta pula digunakan untuk jumlah kakitangan jauh lebih kecil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!