Pening pilih kesebelasan terbaik, kata Aidil Sharin
KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Shahrin Sahak mengakui pening untuk membariskan kesebelasan utamanya bagi menghadapi perlawanan sulung Liga Super 2019 bertemu PKNP FC di Stadium Manjung malam esok.
Menurutnya, semua pemain menunjukkan prestasi memberangsangkan sepanjang pra musim 2019 terutamanya bagi 18 pemain yang dibawa ke tempat lawan.
"Bagaimanapun saya tetap akan bawa kesebelasan yang paling terbaik ke Manjung kerana bertemu PKNP FC tidak boleh dipandang mudah kerana Kedah hadir memburu tiga mata penting dalam pertemuan pertama liga ini," katanya pada sesi latihan terakhir pasukan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar.
Dalam pada itu, pengendali dari Singapura itu juga mahu skuad kendaliannya bermain dengan mentaliti menyerang di samping merencana serangan balas pantas ke kubu lawan sepanjang perlawanan berlangsung.
Jelasnya, Lang Merah pada musim ini tidak lagi akan mengamalkan taktikal hantaran pendek atau tiki-taka seperti yang dilakukan pasukan itu sejak beberapa tahun lalu.
"Jujurnya saya percaya kepada falsafah bola sepak saya sendiri dan berbeza dengan tiki-taka yang diamalkan oleh Kedah sebelum ini.
"Saya percaya corak permainan kini adalah pantas, beraksi pada tahap stamina tinggi selain keinginan tinggi mahu menang pada setiap perlawanan," katanya.
Tambah Aidil Sharin, beliau mengharapkan semua pemainnya dapat menunjukkan prestasi sebenar mereka untuk memastikan sekurang-kurangnya satu piala akan dibawa ke Alor Setar bagi musim 2019.
"Semua pemain di dalam pasukan adalah nadi penting kepada skuad Kedah dan kami tidak mengharapkan kepada kekuatan individu semata-mata," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!