Peruntukan kepada JASA terlalu besar: Shahril Sufian

SHAHRIL SUFIAN
SHAHRIL SUFIAN
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan peruntukan lebih RM80 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dalam Belanjawan 2021 adalah terlalu besar.

Beliau berkata, tiada rakyat atas pagar yang boleh menerima perkara berkenaan selain keputusan itu juga turut menjadi pertikaian ramai pihak.

Menurutnya, penerangan dan komunikasi kepada rakyat berteraskan program dan libat urus komuniti sememangnya ada fungsi terutamanya di luar bandar.

Katanya, ramai pegawai JASA sebelum ini melaksanakan tugasan itu sebelum diberhentikan dengan begitu mendadak.

"Tetapi jumlah RM80 juta itu tampak jauh terlalu besar dan ada hujah (mempersoalkan) mengapa tidak diperkasa sahaja atau ditambah pegawai untuk Jabatan Penerangan.

"Tambahan lagi, ada yang kata untuk melaksanakan kerja-kerja politik kepartian, tak boleh guna duit kerajaan. Ini hakikat zaman sekarang di mana rakyat celik prinsip demokrasi dan ketelusan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakya, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Shahril Sufian berkata, secara peribadi beliau berpendapat peruntukan kepada JASA itu merupakan salah satu daripada tiga perkara yang kurang memuaskan dalam Belanjawan 2021.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, apa yang mengecewakannya juga adalah belanjawan tidak memberi tumpuan terhadap teknologi hijau bagi mewujudkan peluang pekerjaan di samping menyumbang kepada penyelesaian masalah krisis iklim.

"Kemelesetan ekonomi sedunia hari ini membuka peluang untuk penstrukturan semula. Sebagai pelengkap kepada 'Job Bank' atau jaminan kerja, Malaysia wajar membuka lembaran baharu dalam teknologi hijau.

"Tetapi tidak nampak pengisian yang signifikan mengenai perkara itu dalam Belanjawan 2021 kali ini selain membantu Sarawak dalam program bas awamnya menggunakan 'hydrogen fuel cells'," katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga tidak mengumumkan langkah-langkah membantu mahasiswa dalam bajet berkenaan sedangkan pihak universiti telah memperkenal sistem pembelajaran atas talian sejak pembukaan semester baharu.

Katanya, bantuan kepada mahasiswa seperti untuk pembelian komputer riba, peranti elektronik atau bantuan lain seperti Kad Prihatin Siswa wajar disemak semula.

Bagaimanapun, Shahril Sufian memuji insiatif kerajaan untuk mengadakan program JanaKerja yang kerana ia dilihat memberi sinar harapan kepada rakyat.

Tegas beliau, JanaKerja wajar menjadi antara fokus utama pelaksanaan Belanjawan 2021 kerana daripada lebih RM300 bilion bajet, RM3.7 bilion diperuntukkan untuk tujuan itu dan dijangka akan memberi pendapatan kepada 500,000 rakyat sekali gus ia boleh menjadi penentu sama ada belanjawan itu berjaya atau tidak.

"Menerusi usaha ini, 500,000 peluang pekerjaan dijangka disediakan termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula. Kalau dicongak peruntukan RM3.7 bilion, nilainya lebih kurang RM7,000 seorang.

"Saya belum pasti, adakah RM3.7 bilion ini termasuk gaji yang dibayar oleh kerajaan. Barangkali ya. Belum juga jelas kerja apa yang akan ditawarkan. Adakah dalam sektor-sektor tenaga hijau dan kemasyarakatan yang membawa kesejahteraan dan kualiti hidup komuniti?

"Belum juga jelas adakah skim latihan ini mesti disekalikan dengan peluang pekerjaan dan bukan hanya latihan kemudian kembali terdedah kepada pasaran kerja yang malap? Barangkali ya mesti disekalikan dengan tawaran kerja," katanya.

Shahril Sufian menjelaskan, jika benar andaian beliau, inisiatif itu mungkin menjadi bibit permulaan pembudayaan baharu di mana kerajaan menjadi peserta aktif dalam pasaran kerja mengisi kelompongan sektor swasta dan bergerak ke aspirasi pengangguran sifar.

"Setiap belanjawan selepas ini wajar ada penambahan dan penambahbaikan kerana impian saya mahu RM20 hingg RM30 bilion untuk skim ini, bukan RM3.7 bilion sahaja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!