Pekebun sawit disaran menabung sebagai persiapan waktu susah
SHAH ALAM – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyarankan pekebun kelapa sawit supaya membuat tabungan sebagai persiapan di waktu susah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus memberi saranan itu kepada golongan terbabit berikutan peningkatan harga minyak kelapa sawit dunia ketika ini jelas memberi kegembiraan kepada mereka.
"Semalam, ketika berbual dengan pekerja di stesen minyak di Kuala Berang. Gaji sebulan RM1200. Anak seorang sahaja. Dia juga menguruskan ladang sawit yang dimiliki oleh ayah di bawah Felcra.
"Katanya, sekarang dapat jual lebih RM600 satu tan. Dua hari sekali dapatlah duit, katanya dengan gembira. Moga ramai lagi yang bergembira pada saat ini. Menabunglah saat senang untuk persiapan di kala susah," katanya.
Mohd Khairuddin berkongsi perkara itu menerusi catatan di laman Facebooknya hari ini dan untuk rekod sebelum ini, harga minyak sawit mentah pada 6 November 2020 mencapai harga RM3,429 setiap satu tan.
Dalam kenyataan berasingan, beliau turut menyifatkan sektor perladangan sawit kini dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka khasnya yang kehilangan kerja untuk menggantikan warga asing di sektor itu.
"Keutamaan pada situasi pandemik ialah bagaimana menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada mereka yang kehilangan pekerjaan. Sektor perladangan sawit memberi ruang untuk rakyat marhaen bekerja menggantikan warga asing," katanya.
Tambahnya, Institut Perladangan dan Komoditi juga boleh melatih tenaga kerja baharu untuk berkecimpung dalam bidang tersebut.
Selain itu, beliau berkata, transformasi perusahaan getah dengan beralih kepada getah krip dan latek juga boleh menambah peluang pekerjaan di sektor getah negara ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!