Belanjawan 2021 tidak menganaktirikan Sarawak

Belanjawan 2021 a
Belanjawan 2021 a
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2021 yang dibentang di Dewan Rakyat Jumaat lalu tidak menganaktirikan Sarawak, malah dapat membantu Bumi Kenyalang itu membuat persediaan menjadi negeri maju menjelang 2030.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) berkata, Sarawak turut memperoleh jumlah peruntukan besar yang tidak secara langsung seperti diumum Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, Sarawak mendapat semula peruntukan untuk penyukatan perimeter Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang dihentikan dalam Belanjawan 2020 yang lalu.

"Sarawak mendapat peruntukan besar yang memberi manfaat terus kepada golongan sasar seperti peruntukan kebajikan untuk golongan penerima bantuan bulanan serta peruntukan yang disalurkan kepada usahawan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

"Bukan itu sahaja, Sarawak turut mendapat agihan menerusi peruntukan yang disalur melalui kementerian lain. Jadi, bagi saya tidak timbul isu Sarawak dianaktirikan, bahkan kesemua peruntukan ini akan dapat membantu Sarawak membuat persediaan menjadi negeri maju menjelang tahun 2030," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan) di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat memperuntukkan Sarawak perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.5 bilion yang antaranya untuk membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan serta pendidikan.

Sementara itu, Rohani berkata, pengumuman kerajaan untuk memperluaskan perkhidmatan bank bergerak di Sabah dan Sarawak seperti yang dilaksanakan kerajaan negeri Sarawak sebelum ini adalah satu langkah yang cukup prihatin.

"Seperkara tentang bank bergerak yang diumumkan, realiti apa yang berlaku di Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar, mereka perlu beratur panjang di bank untuk mendapatkan wang bantuan ekoran kekurangan perkhidmatan bank di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

"Ada yang sanggup menunggu dan tidur di luar bank seawal jam 4 pagi bagi mengelak beratur panjang," katanya.

Ketika membentangkan perkara itu Jumaat lalu, Tengku Zafrul berkata, langkah itu dapat membantu masyarakat yang sukar mendapat akses perbankan asas seperti pemindahan wang, pembayaran bil dan kemudahan mengeluarkan wang bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!